Azab Syafia
Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my
JENAZAH Syafia Humairah dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 17 Kuang, Kuala Kubu Bharu, semalam. |
Pendarahan otak; Cedera parah di perut, ginjal; Luka, lebam seluruh badan
KUALA LUMPUR: Bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang mati dipercayai didera teman lelaki ibunya kelmarin, mendapati berlaku pendarahan otak, kecederaan parah di perut dan sekeliling buah pinggang akibat hentakan kuat di kepala dan abdomen mangsa.
Selain itu, bedah siasat terhadap Syafia Humairah Sahari di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), Hulu Selangor yang mengambil masa kira-kira tiga jam mulai 10.30 pagi, juga menemui kesan luka dan lebam seluruh badan, selain kesan penderaan lampau. Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Bakhtiar Rashid, berkata polis akan memanggil beberapa individu yang rapat dengan suspek, termasuk ibu mangsa bagi membantu siasatan.
"Polis percaya mereka mempunyai hubung kait atau tahu mengenai penderaan berulang yang dipercayai dilakukan suspek, seorang pemandu teksi berusia 28 tahun itu.
"Kita juga akan memanggil beberapa saksi yang mendakwa melihat suspek menendang kanak-kanak itu di padang berdekatan rumahnya pada hari berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Bakhtiar berkata, bedah siasat yang mendapati kesan kecederaan lama akibat penderaan lampau, termasuk yang dikesan beberapa hari sebelum kematiannya menunjukkan mangsa didera secara berterusan.
"Kecederaan luaran yang baru dan lama itu dipercayai disebabkan pukulan dengan benda keras dan kesan hentakan kuat. Bahagian belakang tubuh mangsa juga ada kesan lebam selain leher, pipi dan bahunya," katanya.
Semalam, akhbar melaporkan, Syafia Humairah mati dengan kesan luka pada muka dan perut, dipercayai didera teman lelaki ibunya di kediaman suspek di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, dekat Batang Kali, malam Khamis lalu.
Mangsa dipercayai ditampar dan disepak di perutnya beberapa kali sehingga mengalami kecederaan parah pada tubuh selain luka di muka, dagu, telinga serta lebam kaki dan tangan.
Syafia Humairah dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan ke HKKB ketika dibawa suspek dan ditinggalkan di wad kecemasan selepas mendakwa kanak-kanak itu mati akibat kemalangan jalan raya.
Bagaimanapun, pihak hospital mengesyaki berlaku penderaan terhadap mangsa selepas menemui banyak kesan luka dan lebam pada tubuh kanak-kanak itu dan polis menahan lelaki terbabit kira-kira jam 3 pagi kelmarin yang mengaku mencederakan Syafia Humairah.
Bakhtiar berkata, ujian air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis ganja.
"Suspek kini ditahan reman tujuh hari mulai semalam (kelmarin) dan kita akan memohon untuk melanjutkan tempoh tahanan reman sehingga 14 hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
Jenazah kanak-kanak malang itu dituntut oleh keluarga ibunya di HKKB sebaik selesai bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuang, kira-kira jam 4 petang.
Terdahulu, suasana di pekarangan bilik mayat HKKB kecoh seketika apabila keluarga teman lelaki ibu mangsa turut datang menziarah jenazah kanak-kanak itu dan dikatakan mahu menuntut jenazah mangsa sebelum keadaan kembali reda beberapa minit selepas itu.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Ya Allah, terasa sayu hati saya bila baca kisah Syafia ni. Saya pun ada anak, selalu juga marahkan anak tapi tak sampai hati nak pukul teruk-teruk. Pukul bila kesalahan dia melampau di tempat yang tak akan mencederakan dia seperti betis atau tapak tangan. Itu pun bila kesalahannya memang melampau. Tapi apa yang paling menyentuh hati tentang kisah Syafia ni berbanding kes dera dan rogol oleh warga Afrika adalah pelakunya adalah orang melayu beragama Islam yang seharusnya kaya dengan sifat pemaaf, sabar, belas kasihan dan segala yang baiklah. Kemana agaknya pertimbangan dia ketika itu.
Saya juga menonton berita mengenai ibu Syafia yang meminta agar diberi perlindungan oleh JKM. Andaikata benar selama ini dia dianiayai oleh pelaku dan dia maklum tentang penderaan anaknya tetapi takut dikasari oleh pelaku maka tindakan memohon perlindungan oleh JKM tu dah lama diambil. Ketika Syafia masih bernyawa. Banyak rumah perlindungan yang ada, talian Nur dan sebagainya yang boleh membantu tetapi apa yang mengecewakan saya alasannya untuk memohon perlindungan JKM adalah kerana masyarakat yang memandang serong terhadapnya. BUkankah itu yang sewajarnya dia hadapi setelah dia membiarkan segala ini berlaku. Alasan suaminya tidak mahu melepaskannya tidak boleh diterimapakai. Kita ada mahkamah Syariah yang membenarkan Fasakh dan sebagainya. Malah bersekedudukan selama 6 tahun juga adalah satu kesalahan besar yang dilakukan dari segi hukum agama Islam. Tapi yang menghairankan saya bagaimana pula Syafia yang berusia 3 tahun tersebut mempunyai bapa kandung dan ibu mangsa juga telah melahirkan seorang anak luar nikah... Masyarakat, tolonglah tengok jiran-jiranmu. Bukan nak menyibuk tetapi adakalanya kita perlu bantu. Mungkin dia tidak sedar tentang kesalahan yang dia lakukan ketika itu.....semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu....