Followers

Saturday, June 8, 2013

....sekadar bicara rasa....

....salam semua....
 
Lama tak menjengah, terasa seperti malu hendak menjenguk blog sendiri sekarang. Sebelum ini saya menghilang kerana sibuk menghadapi kemabukan akibat buatan sendiri...:), kemudiannya saya menghilang lagi kerana sibuk menguruskan si jari halus di awal kelahirannya dan kali ini saya menghilang lagi....lama pula tu! Kenapa ya???? Kerana saya cuba menjadi anak yang baik buat kedua orang tua saya walau pun saya tahu semua itu bukan mudah untuk saya lalukan.... Hmmmm....
 
Terlalu banyak cerita, terlalu banyak perkara yang terbuku di hati dan minda, akan tetapi mungkin saya masih perlu mencari ruang dan peluang untuk membangunkan semula apa yang kian mula runtuh dalam diri saya sedikit demi sedikit kini....
 
Apa yang saya perlukan ketika ini hanyalah sokongan dari orang disekeliling saya bukannya batu api yang akan mencetus rasa kurang senang bagi diri saya mahupun orang lain. Jauh di dalam lubuk hati saya, saya benar-benar merasa terkilan. Serasanya saya ini seperti bersendirian di bumi Mutiara ini. Seolah-olah saya tidak punya saudara dan ipar duai, seolah-olah saya tak punya sesiapa.... makanya saya rempuh semuanya sendirian. Menggunakan tenaga tulang empat kerat ini untuk memenuhi keperluan orang tua, anak, suami....dan akhirnya saya letih sendiri.
 
Tidak mengapalah..... bila saya diduga, saya redha....bila saya diduga lagi....saya redha.... sesungguhnya saya redha.... walaupun saya menangis, jauh dalam hati saya, saya redha....dan saya redah!!! Life goes on.... itulah sepatutnya... mahu atau tidak. Dan kita takkan mampu untuk membahagiakan semua orang dan apa yang penting, kita tidak perlu merasa bersalah kerana gagal membahagiakan diri orang yang tak pernah langsung  cuba memahami kesukaran dalam hidup kita kini....
 
**sehingga hari ini, saya harus mengakui, masih belum ada insan yang memahami diri saya sehebat dia...

kaki kematu...
badan lunyai...
hati basah....
harapan patah...
hanya ada sekuntum senyum tawar,
dan tangan menadah doa....
 
 
arghhhh...sekadar coret kata dari jiwa parah dirempuh rasa....terlalu banyak yang berputar ligat, mencari saat bila detik henti akan muncul!

Thursday, April 11, 2013

Bila En. Suami membantu jagakan anak!!!

Assalam.... sekadar coret-coret petang sambil berkongsi kisah si Jari Halus. Sekarang telah menginjak hampir 8 bulan. Kemahiran terkini adalah tarik dada, duduk ala-ala ikan duyung dah acting merangkak (tapi lepas tu tak jadi....hahaha).
 
Sempena dah mula duduk ala-ala duyung, saya pun membeli walker untuk si Jari Halus melaksanakan aktiviti mengeraskan kepala lutut bagi persediaan berjalan. Masih belum sesuai untuk digunakan, maka saya simpan sahaja di dalam bilik.
 
Al-kisah suatu hari di dalam minggu ini, pengasuh tak sihat dan meminta MC. Kebetulan En. Suami pun MC akibat sakit kaki (masih boleh bergerak tetapi agak terbatas). Tanpa ada pilihan lain, En. Suami pengarang jantunglah saya amanahkan si Jari Halus buat sementara. Paginya saya bekerja, kemudia saya minta kebenaran pulang awal untuk menjenguk si Jari Halus, alhamdulillah, lena tidurnya sepertimana saya tinggalkan sewaktu pergi bekerja tadi. Saya sediakan barang-barang untuk makan tengah hari dan sambil-sambil itu saya mandikan, susukan.... Letih memanglah letih, tapi apa boleh buat, dalam keadaan terdesak, okay saja...
 
Setelah saya tidurkan selepas makan tengah hari, saya pergi semula ke pejabat. Tepat Jam 5 saya bergegas pulang, sebaik sahaja pintu di buka, mata saya terbeliak....... Oh!Rumahku!Macam kapal karam!
 
 
 
 
*maaf gambar kurang jelas kerana ini gambar curik!

Rupanya si Jari Halus terjaga awal dan tak sudi tidur lagi. En. Suami tak tahu nak layan bagaimana lagi, di pasangnya walker yang baru dibeli dan inilah jadinya... Semua barang disepahkan....hukhukhuk. Baru tak sampai 1 jam si Jari Halus di dalam walker dah bersepah rumah, jika seharian, tak tahulah bagaimana rupanya rumah itu.
 
**untuk sementara waktu, kami memang belum membeli almari yang lengkap untuk menyimpan segala barang-barang dan perkakasan. Cadangannya bila berpindah ke rumah sendiri, barulah dibeli segala kelengkapan tersebut. Itu sebabnya banyak barang hanya diletakkan di lantai dan ini menimbulkan minat kepada si Jari Halus untuk meneroka. Sesuai dengan usia si Jari Halus, makin besar, makn banyaklah pula pakaian dan gadget-gadget untuk kegunaannya.....maka, makin penuh dan bersepah saja rupa teratak kami sekarang.....kata En. Suami:'hai....makin nak pindah, makin bertambah-tambah pula barang ni nampaknya....'. Saya:...hanya mampu tersengih!....

Wednesday, April 10, 2013

Floral Headband

 Assalam.... sekadar sembang-sembang petang sementara menunggu pukul 5 petang hendak menjenguk ayahanda di hospital. Bukan apa, sekadar hendak menunjuk satu lagi hasil kerastangan di malam hari sewaktu menemankan si Jari Halus tidur...
 
 
 
Ini hasil kerastangan saya. Floral Headband, menggunakan gabungan fabrik kapas yang di simpul-simpul menjadi kuntuman bunga. Saya hiaskan dengan lace dan kelopak mawar dari fabrik felt. Bahagian bawahnya juga saya hiaskan dengan fabrik felt yang telah saya potong mengikut bentuk bunga dan saya jahit menggunakan jahitan tangan sahaja.
 
 
 
Esok paginya, saya gayakan pada si Jari Halus...... Hahahaha...nampak comelkan? Lagi comey dari Kak Tun kan???.... hahahaha
 
**ini sahaja la yang termampu buat sekarang ini..... sekadar memastikan jari jemari tidak terus kelu untuk berkarya nanti....:)





Monday, April 8, 2013

Kisah hari ini:Malang itu berbunyi!

Assalam semua.....
 
Hari ini saya hendak bercerita tentang 'malang tidak berbau'. Hmmmm... memang malang tidak berbau. Tetapi sebenar-benarnya malang memang berbunyi (berdasarkan pengalaman saya pada hari ini...). Alkisahnya:
 
Saya sedang mengundurkan Cik Zaza dari ruangan tempat letak kereta di teratak bonda. Secara tiba-tiba:
 
saya: Alamak! Pak Cik (bukan nama sebenar) hendak mengundurkan kereta juga!
 
Terus saya memberhentikan Cik Zaza. Pada hemat saya tentulah Pak Cik akan memandang cermin untuk mengundurkan kenderaannya dan akan ternampak kereta saya yang sudah diundurkan separuh jalan. Akan tetapi jangkaan saya meleset. Dengan lajunya (bagaikan bunyi~wingggggg), dan kemudiannya diikuti bunyi sensor~tittittittittit (dalam nada cemas!), dan  secara tak tentu arahnya saya membunyikan hon dengan gemersiknya tetapi seterusnya kami mendengar bunyi gedebak!
 
ayahanda: Ala.....dah kena dah!
saya: Lorrrr..... Pak Cik unduq tak tengok dulu ka??!!!
 
Ayahanda meluru ke belakang kereta dan kemudiannya menepuk belakang kenderaan kancil Pak Cik. Dengan selambanya dia menuju kehadapan seolah-olah tiada apa-apa. Ayahanda sekali lagi menepuk tingkap kenderaannya. Kemudiannya Pak Cik memberhentikan kenderaannya dan keluar:
 
Pak Cik: La....kena ka?
saya: saya hon banyak kali, tapi pasai pa Pak Cik unduq juga?
Pak Cik: ...tak dengaq, tutup tingkap...
 
Hukhukhukhuk....Boleh terima ke? Selalunya bila kita melanggar apa-apa, pasti kita merasakan gegarannya. Takkanlah sampai tak sedar langsungkan???
 
ayahanda: Malang!
Pak Cik: Tak pa...pi buat. Nanti  bagi tau berapa det.
 
Saya dan ayahanda kemudiannya menuju kereta. Apa lagi yang boleh dikatakan....
 
ayahanda: awat hang tak pi depan balik?
saya: la....tak dan dah masa tu. Kan orang hon.... patutnya Pak Cik jangan la dok mai lagi. Ni unduq juga....
ayahanda: dia pekak! Hang tak tau ka?
 
Hukhukhukhuk...pekak rupanya. Patut la dengan selamba je dia boleh keluar tadi. Bila si pekak dan si gabra bertemu, cik zaza pun kemek jawabnya.....
 
**terkekek-kekek En. Suami bila saya bercerita tadi. Jauh-jauh pergi sampai ke Kuala Lumpur, Cameron dan segalanya tiba-tiba di depan rumah jua kemeknya....:(

Sunday, April 7, 2013

Jom masak: Pizza segera

Assalam...dan salam sejahtera....

Selalu jika di hari minggu apa agaknya aktiviti ya? Aktiviti saya sekeluarga adakalanya adalah memasak. Bukan apa, kadang-kadang terasa perlu juga untuk membiasakan si Puteri Bertuah dengan dapur. Tetapi selalunya menu saya memang yang ringkas-ringkas sahaja. Jom kita kongsi resipi!

Kali ini saya dengan Puteri Bertuah memasak Pizza Segera. 15 minit sahaja siap boleh dimakan. Bahan-bahannya:

i) Roti pita
ii) Sos spageti kimball
iii) Isi ayam yang telah dimasak bersama bawang, tomato (sekiranya mahu lebih rasa pedas boleh diletakkan serbuk cili dan lada)
iv) Sayur-sayuran seperti lada bengala, cendawan (ikut kegemaran)
v) Keju (mozarella yang paling sesuai tetapi saya hanya gunakan keju chesedale rendah lemak je...)


Caranya amatlah mudah:
 
i)Sapukan sos spageti tadi di atas kepingan roti pita. Sapu elok-elok, jangan comot. Kemudian taburkan isi ayam yang telah dimasak enak tadi. Pastikan isi ayam tersebut telah sempurna berperisa kerana tiada lagi sebarang garam atau lada akan diletakkan.

 
ii) Taburkan sayuran dan juga keju di atas lapisan tadi. Siap untuk dibakar didalam ketuhar. Saya telah siap panaskan ketuhar dan bakar selama 10 minit sahaja.
 
 
 
Taraa.....dah pun siap. Potong dan boleh dihidangkan. Boleh jadi makan malam atau pun snek ringan untuk minuman petang.
 
 
Hmmm.... Tak susah sebenarnya untuk kita menyiapkan juadah dalam waktu yang singkat. Tapi kena pastikan bahan-bahan semua sudah tersedia. Selalunya hujung minggu, saya telah mula menyiapkan perancangan menu untuk 5 hari berikutnya. Al-maklumlah....sekarang hari-hari dapur dirumah berasap. Pagi-pagi dengan bubur nasi untuk si Jari Halus. Petang pun sama, bubur atau puree untuk si Jari Halus dan makan malam ringkas untuk saya dan En. Suami. Sejujurnya saya harus mengakui, masakan barat menjadi pilihan saya kerana cara penyediaan yang lebih ringkas dan bahan yang juga tidak cerewet (hmmm...pada pandangan saya lah....).

**maaflah jika ada yang merasakan saya menyombongkan diri. Tidak mahu bercampur gaul lagi. Bukan begitu, dengan masa yang terhad, saya cuba menyusun hidup saya sekeluarga. Saya cuba memberi yang terbaik. Maka, adakalanya saya perlu mencicirkan sesuatu yang tidak mampu lagi saya kendong agar saya mampu menggendong apa yang saya ingin dalam hidup dengan lebih sempurna.... Kita takkan mampu memuaskan hati semua orang. Maka belajarlah untuk meletakkan diri sendiri dalam kasut orang lain, bukan sekadar renung-renung di celah kain sahaja!

Tuesday, April 2, 2013

Mac dan kek!


Matahari Mac ini garing,
Buat daun layu jadi kering,
Lalu kami menuju pelangi,
Harap dapat berlindung sehari dua,
Mendamai minda menyejukkan dada......

Kuang-kuang.... nak bermadah segala bagai..... Okay la, kita terus ke titik tujunya... Bukan apa nak sebut tentang pertambahan usia saya di bulan Mac yang lalu sebenarnya. Sekarang, hampir setiap tahun bila tiba sahaja tarikh 29 Mac itu hampir tiba, saya pasti akan mula merancang-rancang untuk bercuti. Akan tetapi bila sahaja memikirkan si jari halus yang masih halus maka jarak perjalanan kami agak terbatas. Pilihan yang terbaik adalah:

Rainbow Paradise Beach Resort

Hmmm.... kita tak mampu nak bercuti di hotel *****. Jadinya Hotel ini pun jadilah untuk kami anak beranak beristirehat sambil menyejukkan badan di kemarau Mac ini. Selama 3 hari 2 malam itu kami gunakan sebaik mungkin. Tetapi yang paling seronok dah tentulah si Jari Halus. Nampak sahaja air, terus kaki terkodek-kodek macam kaki itik.

Tengok sahajalah wajah si Jari Halus..... Gembira tak terhingga.

Dua, tiga hari sebelum pergi En. Suami bertanya:

dia: Kita nak gerak pi hotel tu hari apa? pukul berapa?
saya: Kenapa?
dia: Saja la tanya? Check-in pukul berapa?
saya: Mana boleh saja2. Kenapa?
dia: Ma ni jangan la tanya banyak2. Jawab saja la.... 
(wahhhh... lagilah saya nak tanyakan....???)
saya: Kenapa?
dia: Abg dah tempah kek dekat Shah, nanti nak pergi ambik kek dulu....
saya: Huh! Tak surprise langsung!
dia: Tu la abg kata jgn tanya banyak2. Kan dah pecah rahsia!

Hahahaha... Memang tak romantika d amour betul la En. Suami tu kan? Akhirnya pada hari kejadian, saya sendiri yang menemankan En. Suami sewaktu mengambil kek tempahannya. Sendiri yang menatang di atas riba dan sendiri yang keluarkan dari peti sejuk. Sendiri yang potong dengan latarbelakang nyanyian si Puteri Bertuah dan sendiri yang suap masuk mulut. Sedap! Nanti saya ambil detail tentang kek ini dari En. Suami.
  

Beginilah rupanya keknya.....jika tak salah namanya kek pelangi....nyum, nyum.....

Tapikan....bila tentang sambutan harijadi, atau apa-apa sekali pun, yang tentu-tentunya sembira adalah anak-anak. Ibu atau bapa ni sekadar adakan majlis, anak-anaklah yang selebihnya menikmati suasana.....:)


Apa-apa pun Alhamdulillah.... Bertambahnya usia lagi di tahun ini. Semoga Allah akan sentiasa memberkati hidup kami sekeluarga. Dilimpahi kami segala rahmatnya, dimurahkan rezeki kami sekeluarga, dilindungi kami dari sebarang malapetaka.... Insyaallah.

*Bila datang 29 Mac, saya lebih sudi bercuti. Agar saya hanya berada dalam dunia saya sendiri. Jauh dari insan yang saya tidak kehendaki......
**Siapa ada menonton Rindu Bertamu Di Abu Dhabi? Alahai...kenapa le pengarah tu tak 'versatile'-kan sikit skrip si 'FIFI' tu. Asyik-asyik ulang dialog yang sama je
~bosan-bosan pun terjebak jugakan....hahahahaha

Saturday, March 16, 2013

Berpantang makan lagi...:)

.....:)

Entry kedua untuk hujung minggu ini setelah sedap-sedap menikmati lunch hari ini. Apa menunya? Spageti bersama bayam bercendawan hati ayam...kuang, kuang.... tak sempat ambil gambar dah masuk perut dan habis.....
 
Okay, okay.... isu dia bukan soal nak menayang apa menu makan tengah hari yang entah sedap atau tidak tu. Tetapi lebih kepada soal boleh makan ke cendawan tu???? Ehem, ehem... Cendawan memang kegemaran saya sejak sekian lama. Apabila bersalin dan menjalani tempoh berpantang, ibunda memang tak benarkan saya menjamah banyak benda. Cendawan, segala sayuran seperti kubis, brokoli, bunga kobis, kekacang dan adalah banyak lagi. Habis? Boleh makan apa je? Makanlah sayur seperti sawi, kailan, ulam-ulaman seperti pegaga dan sebagainya. Kacang botol? Jangan!!
 
Malahan minuman berais pun saya masih berpantang. Semua masih berpantang, bab makan ni jangan dibuat main. Ialah, kita kata makan je, bukan jadi apa pun... Tapi ketahuilah, sekarang kita taklah rasa, tetapi bila memasuki era 40-an kelak mulalah sakit sana sini.
 
Tapi kan...tapi kan.... hari ini tak boleh, rasa teringin sangat. Jadi ibunda kata:
 
'hah!nak makan tu makan la. Tapi masak bubuh lada banyak-banyak...'
 
Maka saya pun memasak dengan jayanya. Hati ayam digoreng bersama bawang putih dan halia, letak cendawan shitake, garam dan sedikit gula. Setelah cendawan dan hati ayam tu dah jadi macam ada kuah-kuah gitu letaklah bayam, besarkan api, gaul-gaul dah siap. Makan bersama spageti berkuah tomato.... sedappppp (sedaplah sangatkan sebab dah lama teringin nak makan). Sambil makan sambil menunggang botol lada hitam.... kira nak bagi balance balik le....hahahaha...
 
Malam nanti kita boleh la merasa terkesan ke berkesan.... hahahaha....
 
Ibu-ibu yang jua baru habis berpantang kat luar sana pun macam saya juga ke? Ada seorang yang saya kenal tu, dah la baby baru 2 bulan je tau-tau dah makan kuih lopes... Hmmm.... Berani kan? Macam mana kuih lopes tu???

Boleh makan ke??? Pulut ni....pulut...hukhukhuk...ini pun kegemaran jua.....isk, isk, isk.....sedih betul!

Coretan ringkas:Doakan Zara...

...Assalam....

Bagaimana harus dimula dan dimana harus dimulakan? Termenung seketika sambil menepuk-nepuk si Jari Halus....

Perkhabaran ini saya dengar 2 hari lalu, tiada berita terkini malah perkhabaran tempohari juga sekadar khabar 'dengar-dengar saja'. Sepupu si Jari Halus khabarnya sekarang sedang di tahan di ICU. Khabarnya terdapat cecair di dalam kepalanya. Usianya jika saya tidak silap baru menjangkau 3 bulan dan lebih... Hmmm...semua masih khabar-khabar sahaja. Tiada kepastian lagi. Malah sewaktu doktor mula-mula menerima kes ini dikhuatiri kes penderaan, tetapi setelah diperiksa tiada pula tanda-tanda berlaku penderaan. Lagi pun kami disini sekadar menerima khabar SMS dan panggilan telefon pun adakalanya tidak berjawab. Hendak menjenguk nun jauh di Sungai Buluh sekarang, makanya kami sekeluarga mengirim doa dari jauh... Jika berkesempatan sampailah kami nanti menjenguk....
 
Walau pun saya dan biras tidak rapat, mungkin kerana jarak dan waktu yang memisahkan kami. Atau mungkin kerana perbezaan karekter menjadikan kami asing, tetapi bila bercakap soal anak pasti rasanya tetap sama. Sebagaimana saya merasakan kosong sewaktu perkhabaran si Jari Halus tidak bernafas sewaktu dilahirkan, sebegitu jua rasanya si ibu bila khabar anaknya perlu dibedah kerana kehadiran cecair di dalam kepalanya. Semoga si ibu akan kuat untuk menghadapi segala ini. Kosong.... pasti rasa hatinya kosong. Kata.... pasti tiada lagi kata-kata. Yang ada, mungkin air mata.....
 
Bersamalah kita doakan kesihatan Zara pulih semula.....


Sumber gambar:Internet


***
Aku dan dirinya jua berbeza
Aku suka menjiwa
Dia suka ketawa
Aku meneroka esok
Dia suka bertapak hari ini
Tapi...
DIA lebih berkuasa
Dikirimkan satu nyawa
Jadi pengikat kasih dua insan yang berbeza.....

Sunday, March 10, 2013

Simpul2 petang:Mari mencantikkan sesuatu yang sediada cantik!

 Assalam..... Selamat berhujung minggu ya kawan-kawan....:)
 
Alhamdulillah, sempat jua kali ini bersiaran di setiap hujung minggu. Teringin rasanya nak selalu menjengah, tetapi nantilah....:)
 
Ok...tajuk kali ini, 'mari mencantikkan sesuatu yang sediada cantik!'.
 
Ini topi berharga RM9.90 yang En. Suami belikan buat si jari halus.....:


Cantikkan??
 
Ini pula bunga hasil kerastangan saya yang saya gumpal-gumpal berkonsepkan bunga 3 bulan:
 
 
 Taklah cantik pun....hahahahaha! Menggunakan Fabrik Felt yang kemudiannya saya hiaskan dengan manik kristal menjadikan bungan ini simple tetapi bling, bling....


Lalu saya simpulkan di sisi topi tadi dengan dihiasi 2 helai daun bewarna hijau terang mengguna fabrik yang saya beli di IKEA dulu.....:

 
Taraa...... Macam cute je kan??? Boleh la.... untuk kita menjadikan si comel kita makin comel. jika mak si comel pakai, sure orang akan pandang semacam je kan?


Ala, ala....tak percaya? Tengok aksi si Jari Halus ni:


Memang macam comel habis kan? Hahahahaha.....

Kadang-kadang benda-benda yang kita beli tu simple sahaja, tetapi bila ditambah sesuatu maka penampilannya akan berubah secara total.... Masa nak beli tu, En. suami saya kata; 'macam kopiah je ni ma.....'. Sekarang dah tak nampak macam kopiah kan???
 
Sesiapa yang berminat pun boleh mencuba begini. Jika di pasaran, kita lihat topi siap dengan hiasan begini adakalanya mencecah sehingga 20, 30 hinggit. Maka sekarang ibu-ibu boleh mencuba buat sendiri menggunakan citarasa tersendiri.....
 
**Sebelum ini saya selalu saja memikirkan tentang sesuatu sehingga detik ini saya mula merasakan keletihan. Mungkin sudah tiba masanya saya cuba untuk melupakan walau bukan untuk memaafkan....=(

Sunday, March 3, 2013

Apa pun tak sempat

 Apa pun tak sempat..... tetapi bab si Jari Halus melawa pasti saya takkan lepaskan...Terkadang tu masih juga sempat saya menyiapkan dua tiga hiasan kepala untuk si Jari Halus melawa... dan apa yang pastinya, semua pink!! Tak percaya, tengok ni...:)



Entah kenapa, bila dapat je 'baby girl' apa saja yang dibeli atau dibuat, pasti ada juga warna pink tu. Selalunya di usia begini, si anak tu tak pandai memilih, tetapi si ibu yang ter-over dengan warna kan??

**Saya sekarang mula meragui erti berkongsi; perlu berkongsi segala atau hanya perlu separuh-separuh atau tak payah kongsi langsung!! Apa yang pasti, kongsi atau tidak, saya dah mula menyampah!!