Followers

Thursday, July 29, 2010

Delima wanita hari ini - Topik tergelincir


Cinta, apa itu cinta? Saya hari ini sekadar hendak berkongsi rasa. Jauh sikit dari topik fabrik atau Cik Nina atau gunting atau apa-apa yang sedaerah dengannya. Bukan hari ini saya membaca tentang satu artikel yang menarik hati saya, tetapi sms yang saya terima malam ini (berduyun banyaknya, tanpa saya perasan pada mulanya..) membuatkan saya teringat kembali apa yang saya telah baca di dalam majalah COSMOPOLITAN keluaran Julai 2010.

Tajuknya: Kerjaya jadi penghalang CINTA?. Okay, apa yang saya nak kongsi disini hanyalah tentang rasa, tentang pengamatan saya sahaja dan bukan sebarang maklumat yang berbentuk Ilmiah. Tetapi topiknya bukanlah tentang artikel tersebut cuma ada serba-sedikit yang berkaitan. Sebaliknya apa yang saya hendak kongsikan disini adalah tentang delima wanita hari ini, antara kerjaya, rumahtangga dan masa depan. Pertama sekali saya hanya nak menyentuh tentang CINTA. Saya pernah membaca tentang pengertian Cinta:

C-Cinta
I-Itu
N-Nikmat
T-Tetapi
A-Awas

Cinta itu nikmat, tetapi awas? Kenapa perlu awas?Jika dirujuk pada kamus, cinta beerti menaruh kasih kepada sesuatu atau seseorang. Selalunya jika cinta pada sesama manusia ini kita boleh ertikan sebagai satu perasaan yang wujud antara 2 manusia dan dalam topik ini saya cuba merujuk kepada hubungan antara lelaki dan perempuan, mungkin sepasang kekasih atau boleh jadi sepasang suami isteri. Saya pernah membaca dulu, tapi saya sendiri lupa dimana, adakalanya perasaan cinta yang wujud itu hanyalah bersifat sementara, rasa berahi dalam hati yang kemudiannya akan diakhiri dengan kekesalan dalam hidup kerana kita memilih pasangan hidup yang salah. Oleh itu, bila kita rasa kita jatuh cinta, mencintai dan ingin dicintai, beri peluang pada diri sekurang-kurangnya 3 bulan untuk kita betul-betul yakin dengan apa yang kita rasa. Itu hanya cadangan, bukan satu permintaan...(just joking...).

Okay, berbalik semula pada topik asal tentang kerjaya jadi penghalang cinta. Selalulah terjadi dalam hidup kita yang kita terpaksa korbankan masa bersama orang yang tersayang, terpaksa membatalkan janji temu, terpaksa memendekkan tarikh bercuti bersama keluarga atau mungkin terpaksa menunda hari balik kampung misalnya, hanya kerana terpaksa memenuhi tuntutan kerjaya. Selalunya, dan dari dulu misalnya, kerjaya sinonim dengan lelaki. Bila lelaki mementingkan kerjaya hingga tanggungjawab menguruskan keluarga diserahkan bulat-bulat di bahu para isteri, tiada siapa yang berasa pelik. Sudah menjadi tanggungjawab sang suami untuk mencari nafkah demi menyara anak dan isteri. Tetapi apa yang berlaku pada hari ini, wanita atau sang isteri, lebih mementingkan kerjaya di pejabat, berbanding rumahtangga yang telah dibina. Sebenarnya, wanita pada hari ini terbeban dengan tanggungjawab yang tidak kurang besarnya. Cuba menjadi seorang isteri atau ibu yang baik, cuba untuk menjadi pekerja yang cemerlang dan pada masa yang sama cuba untuk memainkan peranan yang penting dalam pembangunan masyarakat. Adakalanya, desakan hidup dan peningkatan kos sara hidup yang membuatkan sang isteri perlu keluar bekerja dan sang suami haruslah memahami tanggungjawab sang isteri bila sang isteri cuba untuk turut serta dalam membangunkan ekonomi keluarga.

Adakalanya sebagai lelaki, sebagai suami yang merupakan nakhoda dalam rumahtangga, sememangnya mempunyai kuasa untuk menentukan dimana, bila dan bagaimana harus sang isteri ini berada. "Saya tak mahu tahu apa kerja yang perlu awak selesaikan, tapi yang pasti awak perlu balik tepat pukul 5 nanti!", atau begini nadanya, "kalau awak masih juga mementingkan kerja awak, manjakan sangat majikan awak, awak jangan menyesal kalau hubungan kita tamat". Tidakkah pernah terfikir oleh sang suami, sepertimana juga dirinya, bilamana sang isteri bekerja, maka sang isteri harus bertanggungjawab terhadap apa yang telah diamanahkan? Atau setidak-tidaknya, tidakkah timbul simpati sang suami terhadap isteri yang terpaksa bertungkus-lumus bermati-matian untuk sama-sama membangunkan ekonomi keluarga dan pada masa yang sama harus memastikan keluarganya dalam keadaan terbela. Cuba sang suami letakkan dirinya di tempat sang isteri ini, bekerja dengan beban dan seribu satu masalah serta kerenah majikan, bergegas pulang ke rumah cuba untuk memenuhi kehendak rumahtangga, memasak, mendidik anak-anak, mengemas dan melayan kehendak suami. Fikirkan. Tidakkah jauh disatu sudut hati itu seharusnya wujud perasaan belas?

Apa yang menarik perhatian saya tentang artikel tersebut adalah:

"Kami tak dapat berkomunikasi!" Itu mungkin sukar dan bahaya kerana hanya kamu yang menyokong karier si dia, sedangkan dia tidak pernah memahami tuntutan kerja kamu. Kawalnya dengan...... Buat sesuatu agar si dia memahami situasi kamu. Kongsikan serba sedikit tentang perjalan atau diari harian kamu di tempat kerja, seperti apa kamu dengar apa yang dilaluinya dipejabat. ......... Katakanlah si dia masih berkeras kepala, ada baiknya kamu berbincang dengannya mengenai status masa depan perhubungan kalian.

Ya, bukan mudah sebenarnya bagi sang isteri misalnya membuat keputusan dalam hidup mereka. Beban yang mereka tanggung adakalanya tidak mampu seorang suami untuk pikul. Bila berhadapan dengan situasi melibatkan kerjaya sang isteri akan mula berfikir untuk berhenti kerja (tetapi mampukah sang suami menyara keseluruhan ekonomi rumahtangga selepas itu?), atau mungkin mengambil jalan mudah dengan mencari kerja yang lebih bergaji murah dan kurang bebanan. Dan jika berjauhan? Apakah perlu meninggalkan kerjaya yang telah sekian lama dibina hanya untuk rumahtangga yang baru dibina. Aduh! Payah, memang payah. Adakalanya sang isteri perlukan tenaga super untuk berfikir tentang semua kemungkinan dalam hidup. Dan sang suami pula adakalanya hanya cuba menunjukkan belang, kuasa VETO yang ada dalam status lelaki mereka dan juga terlalu ego untuk bertoleransi tentang kerjaya sang isteri. Adakalanya sang suami masih meneruskan pemikiran purba yang kian lapuk, tempat isteri hanya di dapur (jadi apa perlu si isteri bekerja?), isteri perlu melayan suami tidak kira bila sahaja suami berkehendak, isteri kena ikut segala cakap suami tanpa sebarang bantahan, suami yang harus menentukan segalanya dalam hidup isteri, isteri tidak berhak langsung untuk menyuarakan pendapat atau nasihat, suami bila-bila masa sahaja menjandakan isterinya jika isterinya tidak mengikut kata?. Aduh, lelaki hari ini, berilmulah, buka mata hati, pandang dan renung sebaiknya apa itu tanggungjawab suami, dimana pula letaknya isteri.

Adakalanya saya rasa kasihan pada sang isteri yang sang suami tidak pernah cuba untuk memahami, tidak pernah cuba menyokong sang isteri dikala sang isteri benar-benar memerlukan. Kenapa perlu mengugut sang isteri untuk memberikan Tittle Lady J dan sebagainya jika sang isteri gagal untuk memenuhi kehendak sang suami yang adakalanya benar-benar memerlukan pertimbangan sewajarnya. Ketika sang isteri cuba untuk mempertahankan CINTA yang telah dibina atas rasa CINTA yang wujud antara mereka disatu ketika yang terlalu baru mahupun yang telah lama berlalu. Harusnya saya mengakui, pada hari ini terlalu ramai wujudnya lelaki pra-matang yang lahir di zaman moden dan masih menjumudkan pemikiran mereka dengan kuasa VETO yang kononnya hanya milik mereka secara mutlak. Dan ketika sang suami menjumudkan pemikirannya, sang isteri harus mula menimbangkan kembali apa yang sepatutnya. Bukan beerti disini, saya menggalakkan wujudnya lebih ramai Lady J yang sememangnya makin ramai pada hari ini, tetapi apakah erti rumahtangga andaikata tidak wujud langsung toleransi dalam perhubungan. Cubalah berkomunikasi, mencari penyelesaian terbaik, tetapi andai sang suami hanya memahami apa itu tanggungjawab sang isteri tanpa memperdulikan apa pula tanggungjawab sang suami, maka apakah harus sesuatu hubungan itu diteruskan? Tiada guna segala pengorbanan, tiada guna segala airmata, tiada guna segala kekesalan kerana itu semua tidak akan beerti jika hati lelakinya masih berkata, "akulah tuan kepada dirimu!".

* jumud - Sikap enggan berubah atau menerima pendapat orang lain ini merupakan sikap negatif yang merugikan diri sendiri. Sikap ini dalam bahasa Arab disebut jumud . Perkataan jumud berasal daripada perkataan” jamad” yang bermaksud benda keras yang tidak bernyawa. Dari segi istilahnya, jumud boleh diertikan dengan berotak beku, sempit, pemikiran masih dijajah atau sebagainya ~ dirujuk dari internet.

No comments:

Post a Comment