Followers

Tuesday, October 16, 2012

Projek Penyusuan untuk Si Jari Halus

Assalam....

Sekadar coretan ringkas sebelum si Jari Halus menyedarkan dirinya dari lenanya...:)

Hmmm.... ini minggu akhir saya mampu menghabiskan sepenuh masa bersama si Jari Halus, minggu depan, saya telah pun memulakan tugas di pejabat. Terasa juga sebal di dalam hati bila saya tak berpeluang untuk menikmati cuti 3 bulan sepertimana kebanyakan wanita bekerjaya di Malaysia sekarang ini. Sejak minggu lepas saya telah mula memberikan si Jari Halus susu formula. Tujuannya hanya untuk membolehkan si Jari Halus di tinggalkan dengan pengasuh sewaktu saya bekerja.


Seperti yang semua tahu, susu ibu adalah pilihan terbaik, tetapi tidak semua orang bernasib baik dan dapat menyusukan anaknya dengan susu badan sendiri. Semua orang yang tidak dapat atau tidak mahu menyusukan bayi mereka pasti mempunyai sebab dan musabab mereka yang tersendiri. Seperti saya sendiri, sebaik sahaja melahirkan si Jari Halus, saya gagal menyusukan si Jari Halus kerana tubuh saya sendiri masih belum mampu menghasilkan susu. Selain daripada itu, saya sendiri bergelut dengan kesakitan dan kesan-kesan akibat pembedahan. Setelah masuk ke wad, saya terpaksa menjaga si Jari Halus bersendirian, turun naik katil, ke bilik air, makan minum, semua terpaksa saya uruskan sendiri. Bila si Jari Halus menangis kelaparan, memang saya 'stress' sangat. Bukan saya tidak mencuba, akan tetapi telah puas mencuba. Si Jari Halus telah lemas di dalam kandungan sebelum dilahir, oleh yang demikian, doktor telah menetapkan sukatan susu yang sepatutnya diberikan sekiranya si ibu tidak mampu atau tidak mempunyai susu yang mencukupi. Tetapi biasalah, jururawat hospital kerajaan memang sentiasa sibuk. Maka untuk memberi susu tersebut kepada si Jari Halus adalah satu beban, dimarah pula kepada saya seolah-olah saya tidak mencuba. Memang terasa marah sangat waktu itu, tetapi tabahkan juga hati.... Bila tak mampu mendengar tangisan si Jari Halus, saya kemudiannya curi-curi memberi susu formula. Kesannya, si Jari Halus sukar membuang air besar dan najisnya menjadi keras. Alhamdulillah kemudiannya masuk hari kelima, susu badan mula mencurah-curah dan masalah si Jari Halus dapatlah saya atasi.

Sekarang, bila sudah mula hendak bekerja, saya merasakan susu formula sebelum ini mungkin tidak sesuai. Saya menukar kepada susu formula yang lain yang berharga hampir 3x ganda harganya. Ia dicadangkan kepada saya memandangkan sebelum ini si Jari Halus telah mengalami masalah sembelit kerana susu formula ini mengandungi campuran Oligosaccaride. Katanya ia bagus untuk meningkatkan fungsi usus dan mengelakkan sembelit . Memang amat terasa mahalnya, tetapi niat dihati saya hanya untuk memberi yang terbaik untuk si Jari Halus. RM36 untuk 400g, jika 1kg, berapalah pula harganya bukan? Maka setelah dicongak-congak, mahu juga dekat RM200 sebulan untuk susu sahaja belum kira lampin pakai buangnya lagi. Sementelaah pula tadinya saya membuat 'survey' di pasaraya GIANT, susu tersebut tidak ada stok. Yang ada adalah Langkah 2 iaitu untuk 6 bulan dan ke atas. Mulalah mengeluh payah.....

Bukanlah bila saya mengeluh beerti saya merasa terbeban dengan si Jari Halus, sebaliknya saya cuba untuk mencari penyelesaian yang terbaik disamping untuk berusaha ke arah menjimatkan ekonomi keluarga. Maka saya putuskan untuk memberi susu badan sepenuhnya kepada si Jari Halus. Bagaimana pula tu? Kena berhenti kerja, duduk di rumah dan menyusukan si Jari Halus secara ekslusif???? Hmmm...tak mampulah saya berbuat demikian, masih ada tanggungjawab terhadap kerjaya yang perlu saya lunaskan. Ekonomi keluarga pun masih belum stabil sepenuhnya, maklumlah baru mendirikan rumahtangga....:)

Penyelesaian untuk masalah itu adalah, saya memilih untuk memberikan si Jari Halus 'Susu Ibu Diperah'. Saya buat pelaburan yang besar dengan membeli set lengkap jenama Spectra (itu je yang mampuuu.....). Jika ada budget lebih saya pun mahu memiliki Medela FS tu kan....tetapi harganya melebihi RM1.5k. Maka saya mulakan dengan sesuatu yang dibawah RM1k sahaja. Jika dicongak keseluruhan kelengkapan bagi menjayakan projek ini, memang saya memerlukan pelaburan yang bernilai RM1k. Tetapi bagi saya, biarlah saya melabur dahulu agar hasil dikemudian harinya adalah anak gadis yang sihat dan cerdas akalnya....Insyaallah....:). Jika saya memilih untuk Medela Swing, mungkin harganya lebih murah. Sekitar RM700 sahaja. Akan tetapi berdasarkan 'survey' produk yang saya pilih ini adalah lebih tahan lasak motornya. Jadi, ia boleh digunakan dengan lebih kerap.

 Hmmm... lebih kurang beginilah produk yang telah dibeli, akan tetapi set yang saya beli itu lengkap dengan beg dan juga kit penyejuk untuk tujuan menyimpan susu yang telah diperah.

Ehem! Katanya coretan ringkas, tetapi ini sudah melalut-lalut. Bukan hendak menunjuk-nunjuk projek yang belum tentu menjadinya ini, tetapi sekadar berkongsi. Maklumlah, saya sendiri lambat mengambil tahu tentang 'Susu Ibu Diperah' ini. Bukan tak tahu, sebaliknya saya terlalu sibuk sebelum ini sehingga tidak menyediakan diri untuk sesuatu yang baik seperti ini. Sebenarnya mungkin persediaan saya untuk memiliki anak kali ini agak kurang....ya...itulah sebenarnya....:).

Apa-apa pun, doakalah saya berjaya dalam projek kali ini. Tak boleh ponteng jadual nanti dan tak boleh nak malas-malas (kenalah usaha lebih jika mahu yang terbaik....). Insyaallah........

**sebenarnya masih juga cetek ilmu lagi tentang 'Susu Ibu Diperah' ni. Makanya saya berguru melalui buku 'Panduan Penyusuan Susu Ibu Bagi Ibu Bekerjaya'. Orang dah berjaya mengepam sampai penuh peti sejuk, saya masih terkial-kial lagi membaca dan menunggu pam yang sedang di pos dan belum tiba lagi....haisshhhhh.... Tapi apa-apa pun saya masih mencuba. Hmmm...kenapalah sewaktu dalam pantang saya tak sediakan diri untuk semua ini....rugi, rugi...rugi....(",)

3 comments:

  1. kena rajin pum..klu kat rumah cuba buat tendem pumping..pasang dlm diri akan berjaya..jgn sebut langsung 'belum tentu berjaya' cuba sedaya upaya..kalau lagi bagus buat double pumping..Kalau kat www.enjoybreasfeed.com. murah brg2 dia..saya sokong awak fully breasfeed..enjoy breasfeed ye jgn stress2 tau

    ReplyDelete
  2. Insyallah, mesti boleh.
    Kak su dulu guna yg manual...pun dpt fully BF.
    Kak su sokong sepenuhnya...sbb Kak su pun bg baby Allieya susu perahan. Sama2 kita usaha!

    ReplyDelete