Followers

Thursday, February 21, 2013

Floral Headband:Penghias kepala si Jari Halus

Assalam dan salam sejahtera.....:)
 
Kembali sesekali menjengah blog yang selalu ditinggalkan sekarang ini. Dunia kerastangan pun tidak lagi aktif. Bukan tidak rindu, akan tetapi masa benar-benar masih belum mengizinkan.... Dalam hati amat-amat berharap menjelang pertangahan tahun ini saya akan mempunyai lebih kelapangan dari segala segi....Insyaallah....:)
 
 
Meninggalkan sementara dunia kraf ini bukan beerti saya melupakan terus. Hati selalu teringin akan tetapi masih belum mampu. Jadi sesekali saya mencuri masa untuk membuat sesuatu. Disebabkan anak saya kali ini juga anak perempuan, maka saya mempunyai lebih peluang untuk berkarya. Ini salah satu yang terkini yang sempat saya buatkan....:
 
 
 
 
Floral Headband: Dengan si Jari Halus sebagai model utama, bersimpulnya 3 kuntum bunga dari kain kapas, dihiasi lace, butang kristal dan juga sekuntum bunga rose dari fabrik felt. Nampak setaman je bebunga di atas kepala yang masih jarang-jarang rambutnya tu.....:)
 
Dulu saya masih ingat ketika pertama kali mengkhabarkan berita gembira kelahiran si Jari halus. Memang agak halus sewaktu kelahirannya, dengan berat sekitar 2.7kg, memang si Jari Halus kelihatan lebih kecil dari Tuan Puteri Bertuah dulu.... Segalanya berbeza dan segalanya menjadi serba-baru bagi saya.... Setelah tujuh tahun baru kembali menimang cahaya mata, segala-galanya memerlukan pembelajaran semula....:)
 
Tetapi sekarang, si Jari Halus tidaklah sehalus mana lagi. Beratnya sudah mencecah 6.5kg sewaktu usia 5 bulan. Jari-jemarinya masih halus tetapi montok! Geram! Tengoklah.....
 
 
Betulkan? geram tak bila memandangkan si Jari Halus sekarang??? Semoga hari-hari yang dilaluinya sentiasa di bawah lindungan yang maha ESA....Insyaallah...:)
 
**sejak semalam lagi hati perut saya menggendong penuh satu rasa... iaitu rasa menyampah. Terdetik di dalam hati, kerana itulah Allah tidak jodohkan aku dan dirinya, jika tidak tentunya habis segala jantung hatiku di buat ulam. Haishhh..... Ya Allah, kurniakanlah hambamu ini kesabaran......
 
Saya suka hari ini kerana malam ini ada ceritera yang di tunggu-tunggu...:). Meh la sama-sama menonton malam ini, hari Jumaat, TV3 ya, jangan lupa.....pukul berapa? 9 malam erk!....


Friday, February 1, 2013

Jom Tengok Drama:Hanya Padamu

Ehem2.....Assalam semua.... 

Saya kembali menulis setelah sekian lama. Bukan kembali nampak gayanya, tetapi hanya curi2 menulis...... Bukan kerana saya sudah jemu atau bosan menulis, bukan juga kerana saya dah kekeringan idea untuk berkarya samada menulis atau membuat kerastangan...akan tetapi kehidupan saya buat masa ini masih belum stabil sepenuhnya. Masih terkial-kial rasanya cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan berkeluarga kembali. Tetapi itu bukanlah tajuk utama coret2 ringkas saya pada hari ini, akan tetapi saya sekadar ingin berkongsi cerita.

Setiap hujung minggu, saya selalu nantikan drama Hanya Padamu. Siapa suka drama ni???? Sebenarnya malas nak mengikuti kisah drama bersiri ni.... Macam ketagih tau, tetapi saya benar2 merasa terpanggil untuk menonton drama ini. Entah la kenapa.... Dengar khabarnya drama ini ada dalam 13 siri macam tu... Makanya tidaklah lama sangat, almaklumlah drama ni hanya sekali seminggu je. Drama ni macam ada unsur2 suspen sikit, misteri sikit... Pelakonnya pula hasil gabungan Beto, Nazeera dengan Zahiril. Meh la menonton bersama drama ni nanti ye.....:)

*Sebenarnyakan....bila tengok pelakon tu kan..... betul2 buatkan saya teringat dengan seseorang....(",)

Tuesday, October 16, 2012

Projek Penyusuan untuk Si Jari Halus

Assalam....

Sekadar coretan ringkas sebelum si Jari Halus menyedarkan dirinya dari lenanya...:)

Hmmm.... ini minggu akhir saya mampu menghabiskan sepenuh masa bersama si Jari Halus, minggu depan, saya telah pun memulakan tugas di pejabat. Terasa juga sebal di dalam hati bila saya tak berpeluang untuk menikmati cuti 3 bulan sepertimana kebanyakan wanita bekerjaya di Malaysia sekarang ini. Sejak minggu lepas saya telah mula memberikan si Jari Halus susu formula. Tujuannya hanya untuk membolehkan si Jari Halus di tinggalkan dengan pengasuh sewaktu saya bekerja.


Seperti yang semua tahu, susu ibu adalah pilihan terbaik, tetapi tidak semua orang bernasib baik dan dapat menyusukan anaknya dengan susu badan sendiri. Semua orang yang tidak dapat atau tidak mahu menyusukan bayi mereka pasti mempunyai sebab dan musabab mereka yang tersendiri. Seperti saya sendiri, sebaik sahaja melahirkan si Jari Halus, saya gagal menyusukan si Jari Halus kerana tubuh saya sendiri masih belum mampu menghasilkan susu. Selain daripada itu, saya sendiri bergelut dengan kesakitan dan kesan-kesan akibat pembedahan. Setelah masuk ke wad, saya terpaksa menjaga si Jari Halus bersendirian, turun naik katil, ke bilik air, makan minum, semua terpaksa saya uruskan sendiri. Bila si Jari Halus menangis kelaparan, memang saya 'stress' sangat. Bukan saya tidak mencuba, akan tetapi telah puas mencuba. Si Jari Halus telah lemas di dalam kandungan sebelum dilahir, oleh yang demikian, doktor telah menetapkan sukatan susu yang sepatutnya diberikan sekiranya si ibu tidak mampu atau tidak mempunyai susu yang mencukupi. Tetapi biasalah, jururawat hospital kerajaan memang sentiasa sibuk. Maka untuk memberi susu tersebut kepada si Jari Halus adalah satu beban, dimarah pula kepada saya seolah-olah saya tidak mencuba. Memang terasa marah sangat waktu itu, tetapi tabahkan juga hati.... Bila tak mampu mendengar tangisan si Jari Halus, saya kemudiannya curi-curi memberi susu formula. Kesannya, si Jari Halus sukar membuang air besar dan najisnya menjadi keras. Alhamdulillah kemudiannya masuk hari kelima, susu badan mula mencurah-curah dan masalah si Jari Halus dapatlah saya atasi.

Sekarang, bila sudah mula hendak bekerja, saya merasakan susu formula sebelum ini mungkin tidak sesuai. Saya menukar kepada susu formula yang lain yang berharga hampir 3x ganda harganya. Ia dicadangkan kepada saya memandangkan sebelum ini si Jari Halus telah mengalami masalah sembelit kerana susu formula ini mengandungi campuran Oligosaccaride. Katanya ia bagus untuk meningkatkan fungsi usus dan mengelakkan sembelit . Memang amat terasa mahalnya, tetapi niat dihati saya hanya untuk memberi yang terbaik untuk si Jari Halus. RM36 untuk 400g, jika 1kg, berapalah pula harganya bukan? Maka setelah dicongak-congak, mahu juga dekat RM200 sebulan untuk susu sahaja belum kira lampin pakai buangnya lagi. Sementelaah pula tadinya saya membuat 'survey' di pasaraya GIANT, susu tersebut tidak ada stok. Yang ada adalah Langkah 2 iaitu untuk 6 bulan dan ke atas. Mulalah mengeluh payah.....

Bukanlah bila saya mengeluh beerti saya merasa terbeban dengan si Jari Halus, sebaliknya saya cuba untuk mencari penyelesaian yang terbaik disamping untuk berusaha ke arah menjimatkan ekonomi keluarga. Maka saya putuskan untuk memberi susu badan sepenuhnya kepada si Jari Halus. Bagaimana pula tu? Kena berhenti kerja, duduk di rumah dan menyusukan si Jari Halus secara ekslusif???? Hmmm...tak mampulah saya berbuat demikian, masih ada tanggungjawab terhadap kerjaya yang perlu saya lunaskan. Ekonomi keluarga pun masih belum stabil sepenuhnya, maklumlah baru mendirikan rumahtangga....:)

Penyelesaian untuk masalah itu adalah, saya memilih untuk memberikan si Jari Halus 'Susu Ibu Diperah'. Saya buat pelaburan yang besar dengan membeli set lengkap jenama Spectra (itu je yang mampuuu.....). Jika ada budget lebih saya pun mahu memiliki Medela FS tu kan....tetapi harganya melebihi RM1.5k. Maka saya mulakan dengan sesuatu yang dibawah RM1k sahaja. Jika dicongak keseluruhan kelengkapan bagi menjayakan projek ini, memang saya memerlukan pelaburan yang bernilai RM1k. Tetapi bagi saya, biarlah saya melabur dahulu agar hasil dikemudian harinya adalah anak gadis yang sihat dan cerdas akalnya....Insyaallah....:). Jika saya memilih untuk Medela Swing, mungkin harganya lebih murah. Sekitar RM700 sahaja. Akan tetapi berdasarkan 'survey' produk yang saya pilih ini adalah lebih tahan lasak motornya. Jadi, ia boleh digunakan dengan lebih kerap.

 Hmmm... lebih kurang beginilah produk yang telah dibeli, akan tetapi set yang saya beli itu lengkap dengan beg dan juga kit penyejuk untuk tujuan menyimpan susu yang telah diperah.

Ehem! Katanya coretan ringkas, tetapi ini sudah melalut-lalut. Bukan hendak menunjuk-nunjuk projek yang belum tentu menjadinya ini, tetapi sekadar berkongsi. Maklumlah, saya sendiri lambat mengambil tahu tentang 'Susu Ibu Diperah' ini. Bukan tak tahu, sebaliknya saya terlalu sibuk sebelum ini sehingga tidak menyediakan diri untuk sesuatu yang baik seperti ini. Sebenarnya mungkin persediaan saya untuk memiliki anak kali ini agak kurang....ya...itulah sebenarnya....:).

Apa-apa pun, doakalah saya berjaya dalam projek kali ini. Tak boleh ponteng jadual nanti dan tak boleh nak malas-malas (kenalah usaha lebih jika mahu yang terbaik....). Insyaallah........

**sebenarnya masih juga cetek ilmu lagi tentang 'Susu Ibu Diperah' ni. Makanya saya berguru melalui buku 'Panduan Penyusuan Susu Ibu Bagi Ibu Bekerjaya'. Orang dah berjaya mengepam sampai penuh peti sejuk, saya masih terkial-kial lagi membaca dan menunggu pam yang sedang di pos dan belum tiba lagi....haisshhhhh.... Tapi apa-apa pun saya masih mencuba. Hmmm...kenapalah sewaktu dalam pantang saya tak sediakan diri untuk semua ini....rugi, rugi...rugi....(",)

Tuesday, October 9, 2012

Tarikh 6 Oktober 2012


6.10.12 telah pun berlalu.... Maka tamatlah tempoh berpantang 45 hari. Berkendurilah kami sekeluarga pada tarikh tersebut. Cewaahhh...bukan niat nak berkenduri sempena 45 hari pun, akan tetapi semuanya kebetulan tarikh yang dipilih seelok-eloknya sahaja. Tuan Puteri Bertuah  kebetulan menyambut ulang tahun kelahiran pada 5.10.12 dan kami raikan sekali dengan majlis aqiqah si Jari Halus pada keesokan harinya.....

  Rasa macam comel je kek si Puteri Bertuah kali ini, rasa macam sayang je nak makan.... Tapi dah makanan, maka kita makan sahaja....:)

Dan...mulai dari tamat tempoh berpantang itu, saya sudah mula mencongak-congak segala persediaan untuk mula bekerja semula.... Hmmm... sebenarnya masih terasa berat hati untuk memulakan kerja kerana jika boleh masih mahu menyusukan si Jari Halus sepenuhnya dengan susu ibu, akan tetapi tempat kerja saya masih tidak menyahut seruan kerajaan dan memberikan cuti 3 bulan kepada ibu-ibu beranak kecil seperti saya ini..... Apakan daya...orang makan gaji, ikut sahajalah kata majikan.....hmmm......

**bila sudah melepasi tempoh 45 hari barulah dapat merasa berjalan-jalan di halaman rumah, keluar ke kedai bersama si Jari Halus. Selagi tidak melepasi tempoh tersebut, kerjanya asyik mengira siling di rumah dan menekan butang ASTRO sahajalah....:). Tapi bila dah berlalu tempoh tersebut, mula terasa berat hati pula kerana bermakna tempoh kembali bekerja juga semakin hampir.... Aduhai...masa, mana boleh ditahan-tahan bukan? Jika ia datang, maka datanglah......

***tadinya terus ke pejabat mengambil uniform yang telah lama siap tetapi tak mampu untuk dipakai kerana sibuk memakai baju mengandung. Hmmm.... sengaja mengambil lebih awal, manalah tahu tak muat pula.... Isk3...harap2 masih muatlah hendaknya.... gheghegheghe

Wednesday, October 3, 2012

Doorgift:Gulung-gulung tuala je....:)

Hari ni rabu??!!

Cadangnya nak buat majlis hari jadi untuk si Puteri Bertuah dan aqiqah si Jari Halus hujung minggu ini. Maka di atas keterbatasan masa, saya hanya sempat gulung-gulungkan tuala ini sahaja buat 'doorgift' untuk majlis tahlil nanti.... Tuala tu pun hanya sempat bonda beli di kedai berhampiran kerana kesuntukan masa untuk kami mengada-ada barang yang lain... Maklumlah, semuanya di saat akhir, sebut sahaja kata nak buat majlis, bonda terus tempah katering... terus je jadi...:)

Tempoh berpantang belum lagi tamat, bonda memanglah larang nak keluar-keluar tengok pemandangan ni, apatah lagi jika nak membeli-belah. Makanya, majlis kali ini penuh sederhana dan menggunapakai apa sahaja yang ada, apa sahaja yang sempat dibeli....

Tuala biasa sahaja.....

Lepas gulung-gulung jadilah comel macam ni.......:)


Tapikan.... Majlis Tahlil tu selalunya disertai oleh Pak Cik-Pak Cik, Abang-abang.... stok yang ada semuanya warna merah jambu, kuning dan hijau sahaja. Maka, nantinya tuan-tuan harap redhalah juga menerima tuala warna merah jambu nanti ye.... (tak pe, kalau tak suka nanti boleh bagi kat isteri erk....)

Tuesday, October 2, 2012

Cakap2 Selepas Budget 2013...

Sehingga hari ini masih kita dapat mendengar komen-komen mengenai Budget 2013. Walaupun saya tidak mengikuti sepenuhnya budget tersebut, apa yang saya dengar..... amboi-amboi seronok betul.....:

- BR1M diteruskan lagi...
- si bujangan 21 tahun ke atas yang berpendapatan dibawah RM2000 pun turut menikmati BR1M 2.0
- Golongan belia dapat rebat RM200 untuk pakej telefon pintar (tapi yang berusia 18 hingga 30 je kot...)
- bantuan untuk projek perumahan terbengkalai, perumahan mesra rakyat dan segala bentuk rumah lagi lah....
- pencen dinaikkan...
- KR1M akan ditambah lagi....
- baucar buku untuk pelajar dan sebagainya....
- bonus untuk kakitangan awam, sebulan setengah kau......

dan....berbagai-bagai lagilah... Saya ni bukannya nak komen pasal budget ni, sebab saya bukan pakar ekonomi yang layak untuk memberi komen tentang budget yang telah pun dirangka oleh tuan yang lebih arif tentang soal ekonomi negara. Akan tetapi saya sebenarnya terasa tertarik hati untuk menceritakan tentang rakyat Malaysia yang sangat prihatin lagi bijaksana bila mengomen. 

Salah satu komen yang saya dengar semalam tengah hari sewaktu sedang menonton TV disamping sibuk menguruskan keperluan si Jari Halus, saya terdengarlah komen rakyat malaysia yang prihatin berkaitan pengurangan subsidi gula sebanyak RM0.20 itu....... Antara komennya:

Komen 1 (lebih kurang begini ye...):
'Bagus jugalah kerajaan kurangkan subsidi gula tu, dapat mengurangkan penyakit diabetes di kalangan rakyat. Memang bijak la pendekatan kerajaan untuk menjaga kesihatan rakyat'.

*ketika tu saya terfikir, adakah diabetes tu hanya disebabkan gula? Apakah makanan lain yang tinggi karbo tidak menyumbang ke arah penyakit tersebut? Apakah kesihatan rakyat terjejas kerana terlampau lebih makan gula? Atau sebenarnya rakyat sendiri tidak lagi tahu jaga kesihatan sebab terlalu sibuk cari rezeki labih kerana nak biaya barang-barang yang melonjak tinggi akibat kenaikan harga gula??? Hairan jugakan... Banyak lagi benda lain boleh diberi pendekatan jika hendak menjaga kesihatan rakyat. Jika hanya mengambilkira perbelanjaan rumah, kenaikan harga gula langsung tidak memberi kesan kepada belanja bulanan dapur kami, tetapi jika mengambil kira perbelanjaan harian, sesungguhnya kenaikan harga gula akan memberi kesan yang besar kepada kami dan juga lain-lain orang. Harga teh secawan akan melonjak naik, belum makanan lain, roti kering atau biskut, malah air masak yang tiada kaitan dengan gula pun berkemungkinanan akan naik harga jika tidak dipantau....sadisss betul.... 

Komen 2 (lebih kurang begini le pulak...):
'....saya kalau ke kedai mamak memang minta air teh (ye ke...lebih kurang le..) tanpa gula. Baik untuk kesihatan kita....' (ada la lagi ayatnya....tak ingat dah...)

*dalam hati saya menyeranah jugak le.... Apa kena mengenanya minta air teh tak dak gula ke apa. Jika kita pergi ke kedai mamak misalnya, minta air teh kurang gula atau tiada gula, harganya tetap sama. Mahal macam tu jugalah..... Dari segi kesihatan ya terjaga, tetapi dari segi susut nilai poket, tetap sama.  Adakah kedai mamak misalnya akan  kira Teh O dengan 5 sudu gula=RM1.00, Teh O dengan 2 sudu gula=RM0.80, Teh O tanpa gula=RM0.60, akankah? Takkan, betul tak???

Kepada yang mendapat manfaat daripada Budget 2013 ini, tahniahlah saya ucapkan, tetapi kepada yang tidak mendapat manfaat langsung, bersabarlah dan redhalah. Contohnya:

'Dari 2009 lagi, tiap2 kali budget kami punya dok tunggu. Kot2 la pencen kami akan dinaikkan tapi tak. Yang 700 lebih tu depa penaik, ni kami yang 100, 200 ni langsung tak penaik. Adilka? Awat, kami bukan penerima pencen ka?'~ kata beberapa penerima pencen bagi bekas pekerja kerajaan yang terpaksa bertukar menjadi pekerja swasta seperti TNB, Telekom, Pos Malaysia dan lain-lain.....

*begitulah nasibkan... Bukan semua dapat manfaatnya, bukan semestinya menyeluruh... masih ada yang tertinggal dan tercicir....

**setiap kali budget yang ditunggu bukan apa, bila sana-sini gaji, elaun dinaikkan, atau bonus diberikan, maka beerti harga barangan juga akan dinaikkan. Yang mendapat padah adalah golongan  yang bekerja dengan syarikat swasta yang hanya menanti kenaikan gaji setahun sekali (itu belum tentu...) dan bonus yang belum tentu juga lagi malah bantuan seperti BR1M pun tak layak kerana hanya lebih seratus dua ringgit sahaja daripada paras yang dibenarkan!

Thursday, September 27, 2012

Bila lelaki anda menolong......;)

Sekadar catatan pendek sahaja...

Pernah tak lelaki di dalam hidup anda atau suami anda menolong anda menjaga anak atau anak-anak??? Hehehehe, dah tentulah pernah. Bukan soal jaga anak itu tanggungjawab siapa, tetapi sebenarnya apa yang akan jadi bila suami anda tolong anda jaga anak atau anak-anak....  

Samada dia:


Sama naik dengan anak anda...... (sumber gambar: gambar curik!)


Atau pun......



Dia lagi over dari anak-anak.....(sumber gambar: gambar curik jugak!)

Tak apalah, asalkan dia En. Somi, En. Awak, En. B mahu pun apa panggilan mesra kalian semua turut membantu. Kerana apa yang penting dalam rumahtangga adalah....'KERJASAMA'!!!

**pernah dulu minta tolong ayahanda jagakan si Puteri Bertuah sementara saya pergi mengajar. Kebetulan bonda ke tanah suci masa tu. Sesampai sahaja di rumah, terkejut melihat rumah dipenuhi dengan kertas surat khabar, mainan penuh dilantai.... Tisu sekotak habis bersepah juga. Rupanya... apa sahaja kehendak Puteri Bertuah di turutkan, main koyak-koyak suratkhabar, seronokkan??? Apa sahaja asalkan si Puteri Bertuah tak menangis atau bising.... Sabar je lah.....(",)

Thursday, September 20, 2012

Secebis kisah Aidilfitri: Make-over langsir!

Sedar atau tidak, Syawal telah tiba dipenghujungnya...... Bagi orang yang berpantang seperti saya sekarang ini, Syawal itu hanya  mampu saya lihat tanpa menikmati kemeriahannya. Al-maklumlah, orang dapat kesana sini berziarah, menghadiri rumah terbuka dan sebagainya, saya pula hanya terperap di rumah meniti penuh kesabaran tempoh berpantang. Jika menjijak kaki keluar, tidak lain dan tidak bukan hanya ke hospital membawa si Jari Halus dan juga membuat pemeriksaan susulan.

Sebenarnya, niat di hati hendak menyambut Syawal sebagaimana keluarga baru yang lain. Beberapa persiapan telah saya buat seperti membeli kuih-muih (nak buat sendiri dah tentulah tidak dengan kandungan yang sarat ketika itu...), membeli beberapa perhiasan/perabot rumah untuk memastikan rumah sesuai untuk menerima kunjungan tetamu (jika tidak, rumah sewa kami tidak lain dan tidak bukan hanya seperti rumah bujang sahaja lagaknya.....) dan juga menyediakan beberapa kelengkapan yang lain.... Akan tetapi, sudah ditakdirkan-NYA, saya keluar masuk hospital dan akhirnya hanya beraya di atas katil dan kemudiannya masuk wad dan bersalin. Seperti biasa, kita hanya mampu merancang, tetapi hanya DIA yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya....gheghegheghe....

Okay, berleter, bercerita bagai nak rak. Hakikat yang sebenarnya, saya hanya nak tunjukkan contoh make-over langsir yang saya buat untuk kediaman bujang kami sempena Aidilfitri yang bakal kami sambut kononnya..... Pada asalnya kami shopping di TESCO, sekali mata tertarik kepada langsir yang sedang dipamerkan. Setelah dibelek, setelah ditenang maka saya pun mengambil 2 helai langsir yang pada perkiraan saya kira cukup sesuai dan padanlah!. Bila balik dirumah dan buat suai padan, rupa-rupanya CANGKAT! Tau cangkat tu apa? Tak cukup panjang lorrrrr.... hukhukhuk. En. Awak gelakkan saja; 'itulah, orang suruh ukur dulu tak nak.....'

Akhirnya, saya mengambil keputusan membuat sedikit make-over bagi membolehkan langsir itu sesuai digunakan di kediaman kami. Saya beli kain lebihan di KAMDAR dan jahitkan dibahagian bawahnya seperti ini:


Lalu hasilnya sangat memuaskan hati En. Awak. Langsir tersebut murah sahaja iaitu RM39.90 untuk sehelai. Dua helai hanya RM79.80 dan ditambah kain lebihan dibahagian bawah pada harga RM5.00, saya menikmati langsir yang sebegini:



Okaylah tu, untuk rumah bujang kami...:). Moral di sini, adalah:

i) jika anda tersilap beli tak apa, anda masih boleh mengubahsuai untuk memastikan benda tersebut boleh digunakan. Jangan dibuang atau hanya disimpan tanpa penggunaan;
ii) sebelum membeli langsir, atau apa-apa sahaja pun kelengkapan kediaman anda, sila ukur terlebih dahulu. Jangan main agak-agak sahaja. Jika tidak, macam saya ni lah jadinya...gheghegheghe


Sunday, September 9, 2012

Kisah lepas bersalin: Berpantang makan!!

Hmm.... Selepas bersalin ni, banyak benda rasa hendak dikongsi. Akan tetapi, masa masih tidak begitu mengizinkan. Waktu yang terluang biasanya akan saya habiskan dengan berehat, sebabnya; rutin hidup seakan-akan menjadi seperti 'nenek, nenek si bongkok tiga, siang mengantuk, malam berjaga...'. Si Jari Halus tu, bila siang, memang enak tidurnya. Boleh sampai hingga 2,3 jam sekali tidur. Akan tetapi bila malam hari, boleh dikatakan 1 jam sekali dia akan bangun. Tak apalah, asalkan si Jari Halus cepat besar dan sihat, macam mana pun tak mengapa...:)

Kisah hari ini adalah berpantang secara moden atau tradisional???? Hmm...apa punya jenis persoalan la ini. Jika tak berpantang, itulah moden. Betul tak??? Saya masih ingat sewaktu hari pertama menjamah sarapan pagi di wad bersalin. Buka mangkuk dan ambik garpu, bersedia untuk disuapkan masuk mulut, sekali baru teringat; 'isk, isk.... aku ni dalam pantang. Mana boleh makan MEE GORENG!'. Terus telefon bonda.....

saya: mama, sarapan mee goreng...
bonda: jangan makan. Angin nanti....
saya: abis, nak makan apa? Lapaq...
bonda: sat lagi tengah hari mama pi hantaq nasi... makan roti dulu....

Dan... tengah harinya, menunya adalah....

Nasi putih, ayam masak ala2 tom yam, sayur petola dan sup labu!

Jika dikira cakap doktor, semua tu boleh dimakan. Sayur baik untuk kesihatan, serat yang diperlukan oleh badan ibu yang menyusukan anak. Tapi jika diikutkan berpantang dengan bonda, sayur yang boleh dimakan adalah sawi, itu pun tumis kosong tanpa sebarang rencah seperti ayam atau udang. Sayuran seperti ulam daun mengkudu itu dibolehkan.... Itu sahajalah yang saya tahu kerana sepanjang tempoh berpantang ini, itu sahaja yang dihidangkan.... Kira sepanjang tempoh berpantang ni, apa sahaja yang dihidang bonda, hanya itu yang saya makan. Bukan apa, sebenarnya takut sangat jika sesuatu yang tidak enak terjadi. Contohnya baru-baru ini, saya mengalami masalah sembelit. Bersungguhlah menyuruh En. Awak membeli 'buah prune' untuk dimakan. Kata bonda boleh makan, maka saya tak berkira banyak. Malamnya saya minum segelas susu dengan 4 biji buah prune. Pukul 3 paginya, perut saya memulas, sakit disana, sakit disini.... langsung tak boleh buang angin. Rasa seolah-olah angin tu sedang sesat didalam sistem badan saya dan menyerang dibahagian yang telah dibedah... Adoiii...siksanya yang amat. Untuk satu kesilapan, saya mengambil masa kira-kira 4 hari untuk pulih bangun seperti sediakala... Kiranya hari kedua itu, saya susukan si Jari halus dengan penuh linangan airmata kerana tidak dapat menahan sakit perut. Duduk tak kena, berdiri apatah lagi, baring pun sakit... Macam-macam bonda dan En. Awak buat, bertungku, urut, makan ubat.... siap makan panadol untuk bagi kurangkan rasa sakit.... 

Jadinya.. Walau pun saya bersalin mengikut kaedah pembedahan, berpantang dari segi makanan adalah harus ya....malah lebih lagi... 

Pada minggu awal bersalin eloklah dimakan makanan yang kering bagi tujuan mengecutkan rahim. Hidangan yang pedas, gatal, berlemak dan terlalu berminyak tidak elok dimakan. Kalau ditanya pendapat orang tua-tua atau bidan kampung, mereka akan mengatakan ianya adalah untuk mengelakkan meroyan atau tempat peranakan menjadi licin dan tidak kembali ke tempat asalnya. Minum air batu atau minum terlalu banyak air juga akan menyebabkan urat dan peranakan menjadi kembang. Dan untuk orang yang baru sahaja ditoreh-toreh seperti saya ini, hidangan yang bergatal-gatal segala bagai tu memanglah sangat elok dielakkan, gatal diluar boleh disapu ubat, jika gatal didalam yang dijahit itu, tak dapatku bayangkan siksanya...hukhukhukhuk

Setelah berpengalaman sekali menderita angin sesat, maka pencarian saya menemui beberapa makanan yang boleh menyumbang kepada angin di dalam badan sewaktu berpantang. Harap kita dapat kongsi bersama untuk kesejahteraan kita dimasa hadapan:

1. Legumes: Kebanyakannya dari jenis kekacang kering, kacang panjang dan kacang soya.
2. Susu dan hasil susu: Susu, aiskrim dan keju.
3. Sayur-sayuran: Kubis, lobak putih, lobak merah, kubis brussel, bawang, kubis bunga, asparagus, timun dan brokoli.
4. Sayuran berubi: Kentang dan sengkuang.
5. Buah-buahan: Prun, aprikot, epal, kismis, pisang, sukun, nangka, pear dan pic.
6. Bijirin dan roti: Kesemua jenis makanan yang mengandungi gandum dan produk daripada gandum termasuk bijirin, roti dan pastri.
7. Makanan berlemak: Makanan bergoreng, lemak daging, sos krim dan sos tartar.
8. Cecair: Minuman bikarbonat soda, fizi, minuman bergas, ubatan atau serbuk.
9. Seserat (fiber): Kacang, oat, bran dan kacang panggang.

**teringat seorang sepupu yang langsung tak mengamalkan pantang-larang sewaktu bersalin menggunakan kaedah pembedahan. Malah dia boleh makan LAKSA sewaktu tempoh berpantang tersebut. Saya amat kagum. Sedangkan saya, bukan sahaja laksa, mee  dan yang sewaktu dengannya, nasi yang dihangatkan semula pun bonda tak izinkan saya makan... apatah lagi benda yang perlu dimasak dua kali, tunggu lepas 100 hari katanya....hmmm....
 

Thursday, August 30, 2012

Andai itu ketentuan Ilahi.....

Andai itu ketentuan Ilahi....hanya itu yang mampu saya nyatakan....

Seingat saya, detik mula pandai check-in ke wad bersalin adalah bermula dari pertengahan bulan Julai dan sehingga ke penghujung kehamilan, jumlahnya adalah 4 kali. Semuanya adalah disebabkan tekanan darah tinggi. Kesimpulan yang saya dapat ambil sepanjang tempoh tersebut adalah kandungan saya mula memberi tekanan terhadap tubuh badan saya, berehat di katil adalah ubat yang paling mujarab untuk memastikan tekanan stabil sepanjang masa. Akan tetapi, kerja di pejabat masih cuba diselesaikan, beberapa urusan dalam hidup yang lain masih cuba dilangsaikan selagi masih ada waktu terluang. Walaubagaimana pun, selepas sahaja kemasukan ke wad untuk kali ke-3, saya nekad untuk bercuti panjang. Bukan apa, niat dihati untuk cuba memastikan bayi yang bakal dilahirkan adalah cukup tempohnya. 

Saya masih ingat, sewaktu awal kemasukan saya ke wad, doktor pakar mula bertanya tentang kaedah bersalin yang saya dan En. Awak persetujui. Sewaktu itu, saya memang agak keliru. Saya sememangnya was-was untuk bersalin secara normal. Almaklumlah, sebelum ini saya tidak pernah merasakan sakitnya bersalin normal walau sudah beranak 1. Maka pendapat bonda dipinta, kata bonda:

'kalau boleh keluaq kot jalan dia, pasaipa yang gatai nak pi toreh???'

Sewaktu itu memang terasa terpukul sangat. Maka kepada doktor pakar saya suarakan, saya akan cuba untuk bersalin normal. Selain bonda, doktor juga lebih suka memilih cara normal. Memandangkan kemasukan ke hospital yang berulangkali dan kekerapan dalam tempoh terlalu rapat, maka saya disarankan untuk bersalin awal. Saya masih teringat sewaktu kemasukan awal saya ke wad tersebut, saya dipertemukan dengan seorang wanita yang telah bersalin, anak kembar.

dia: sakit la adik oii...yang bawah pun depah toreh, yang atas pun depa belah....
saya: la....pasaipa macam tu?
dia:dah yang mula2 tu larat la nak teran, nurse suruh teran tapi depa tak jaga, meluncoq keluar anak macam tu ja... lepas tu dah tak larat teran sebab petang tu tak makan apa....depa tolak balik kepala anak tu masuk, tolak masuk bilik bedah, bagi badan akak bengkok (untuk suntikan epidural), lepas tu bedah... tu yang anak ni tak berapa nak menyusu, dia dah lemas masa keluaq tu...
saya: boleh pulak depa tolak masuk balik, bahayanya...
dia: tu yang pagi semalam Dr. Selma marah kat doktor semua, pasaipa tak forsep je budak tu kalau kepala dah boleh keluar....
saya:....tertelan air liur kengerian...

Bonda pun kemudiannya mula suarakan sesuatu setelah beberapa pandangan rakan-rakan diperolehi. Katanya dipaksa bersalin menggunakan ubat lebih berisiko, baik bedah sahaja. Akan tetapi kata putus telah pun diberikan, malas untuk berdolak-dalik pula dengan tuan doktor. Tawakal sahaja kepada-Nya. 

Sebaik sahaja saya ditahan untuk kali ke-4, tanpa bertangguh lagi doktor memutuskan untuk memaksa saya bersalin lebih awal walaupun kandungan belum cukup 38 minggu sebagaimana yang telah diputuskan sebelum ini. Rela atau tidak, haruslah saya relakan juga. Bermula daripada 22 Ogos 2012 prosedur induksi. Setelah kedua-dua prosedur induksi tidak berjalan lancar, akhirnya saya ditolak ke bilik bedah jua pada 23 Ogos 2012. Tetapi yang sedihnya, ketika saya ditolak kebilik bedah, ada pula kes kecemasan yang memaksa saya ditolak turun ke bawah semula. Sekali lagi ditolak ke dewan bedah dan ditahan di situ melebihi 30 minit kerana kemungkinan satu lagi kes kecemasan. Sewaktu itu, tekanan darah mula tidak stabil, dan saya ditolak ke bilik bedah akhirnya. Sewaktu pembedahan, ada satu saat, tekanan darah telah mencanak sehingga melebih 200. Manakan tidak, selain menunggu lama, di dewan bedah itu jugalah, pakar bius sibuk mencari urat yang strategik bagi pemasangan branula. Kenapalah tidak dibuat sewaktu saya menunggu 30 mint tadi..... setelah 2 tusukan yang tidak menjadi maka tusukan ke-3 di saluran yang paling jelas dan nyata. 

Sepatutnya, sebaik sahaja bayi dikeluarkan, bayi akan ditunjukkan kepada ibu untuk mengesahkan jantinanya. Akan tetapi, dalam kes saya, bayi seolah-olah dilarikan. Hati berdebar menanti... mulut tak berhenti berdoa.... Pakar bius datang dan menenagkan saya;

'sabar ya puan, bayi tak nangis, doktor pakar sedang usahakan sesuatu....'

Sewaktu itu minda saya kosong. Jika itu takdirnya apa lgi yang harus saya katakan..... Kemudiannya setelah hampir selesai....saya menerima perkhabaran yang bayi telah menangis.... dan akan dibawa ke wad kanak-kanak untuk pemerhatian. Saya hanya boleh menjenguk setelah pukul 10.30 malam. Hati rasa sayu sangat. Sampai ke hari ini, jika saya melihat buku pink baby tu, hati rasa sayu. Skor Apgar:

1 minit pertama: 1/10

5 minit : 8/10

Masa itu saya selalu teringat kata-kata akak yang melahirkan anak kembar tempoh hari....:

'kita orang melayu, Islam. Kita percaya pada ketentuan tuhan. Kalau dah takdir kita macam tu, kita nak kata apa. Tu depa boleh buat kita macam-macam. Kalau orang lain, mau kena saman doktor tu buat macam tu kat kita....'

Kata En. Awak; 'tak apalah, biarlah...janji dua-dua dah selamat. Kita tak payah ungkit-ungkit lagi dah...'

Sebenarnya ada terkilan rasa dengan pengurusan hospital, akan tetapi tetap bersyukur semuanya telah selamat, akan tetapi hati adakalanya risau jika si jari halus tu ada apa-apa kesan akibat kegagalan tempoh hari (dipercayai lemas sewaktu tekanan darah mencanak naik 200). Bila menyusukan dia, selalu membelek-belek tindakbalasnya.... Harap-harap sihat sejahtera berpanjanganlah hendaknya...