Followers

Sunday, July 22, 2012

Pakej 5 hari 4 malam di hospital bersalin....:)

Apa yang tersurat tetap tersurat.... Jika itu yang telah ditentukan, maka itulah yang bakal terjadi.....:)

Apa kebenda la tetiba sahaja mula berfalsafah berkaitan suratan hidup ni..... Ingat tak entry saya sebelum ini yang katanya hendak membawa si Tuan Puteri Bertuah menonton wayang? Memang berat sahaja mulut ni hendak suarakan pada dia, bimbang tidak menjadi. Bukan niat hati sengaja nak mungkir janji, akan tetapi darah tinggi tiba-tiba mencanak tinggi.....:)

Pagi itu, pukul dua rasanya kepala rasa berdenyut-denyut sahaja. saya bangun dan minum air, cuba untuk lelapkan mata semula. Terlelap seketika. kemudiannya terjaga pada pukul empat pagi, sepatutnya selepas terlelap kepala harus lebih ringan. Tetapi kali ini, berat kepala menjadi-jadi. Saya gagahkan diri bangun dan mandi untuk basahkan kepala. Harapnya sudah tentulah berkurangan sakitnya. Pukul enam pagi mula mengejutkan En. Awak minta dipicitkan kepala.... Sungguh tak mampu lagi nak menahan peritnya..... 

En. Awak pergi juga ke pejabat, kerana ada urusan penting. saya ambil keputusan untuk berehat sahaja. Akan tetapi, sakit itu semakin menjadi-jadi dan En. Awak berpatah balik ke rumah akhirnya. Kemudiannya, saya bersiap-siap untuk ke klinik dan saya muntah. Waktu itu, badan dah mula lain macam. Dipendekkan cerita, saya dirujuk ke hospital bersalin memandangkan kandungan telah melebihi usia 30 minggu. Merasalah naik ambulan seketika. Tekanan darah mencecah 194/100 (lebih kurang la, turun naik...), doktor mula datang dan memberikan penerangan bahawa ubat anti sawan akan mula diberikan untuk tempoh 24 jam bagi mengelakkan serangan sawan. Jika tekanan darah masih tinggi, saya mungkin terpaksa melahirkan bayi ini lebih awal. Waktu itu, apa yang terlintas di dalam kepala adalah:

i) Alamak! Baju baby tak basuh pun lagi...barang-barang pun tak beli abis lagi.....;
ii) Hmmm....macam mana, hari Isnin ngan Selasa ni ada kursus;
iii) Isk3...17hb kan site visit KOMTAR, dokumen dia macam mana, dah okay ke belum.....:(;
iv) Baby kena lahirkan jugak ke? Nak induce ke nak ceaser...????


13 Julai 2012..... Di bilik khas di hospital bersalin..... branula kiri dan kanan.... satu untuk ubat, satu untuk air....

Macam manalah darah tu tak naik makin meninggikan???? Sebagai persediaan kemungkinan melahirkan bayi lebih awal, maka saya mula diberi suntikan mematangkan paru-paru bayi (methasone...macam tu lah yang disebut-sebut). Sakitnya, hanya tuhan sahaja yang tahu. Rasa nak menangis je...... Selepas dua jam, alhamdulillah, semua kembali normal.... Tekanan darah mula turun perlahan-lahan.... Air kencing pun dah bersih dari sebarang bendasing. Pada petangnya saya mula dibenarkan makan kerana tak jadi bersalin..... Alhamdulillah.... Yang paling tak tahan, ubat anti sawan yang diberikan harus langsai 24 jam, setiap jam tuan doktor akan datang ketuk-ketuk kepala lutut dan siku ni... Sehinggalah akhirnya cukup 24 jam, ubat dihentikan dan tekanan darah stabil....:)

Tetapi, bila dah tak jadi bersalin, tekanan darah mula normal, keinginan hendak pulang mula membuak-buak... Walaubagaimana pun, bermalam jugalah dihospital selama 5 hari 4 malam dengan jayanya. Rupanya, setelah selesai 2 dos suntikan methasone tu, kencing manis mula berada di luar kawalan. Jenuh bercucuk insulin pulak dah....

Sebaik sahaja keluar dari wad, perkara pertama yang saya lakukan adalah melengkapkan barang-barang baby, berehat secukupnya (masuk kerja pada hari berikutnya, bp naik lagi....nyaris tak masuk wad balik...). Tuan Doktor memberikan MC tambahan.... Memang kali ini berehat panjang saya. Seboleh-bolehnya dinasihatkan berehat sebanyak mungkin, jaga pemakanan dan jangan tensi-tensi. Alahai.... Lagi enam minggu sahaja..... Harap-harapnya, tiada lagi kejadian sebegini berulang dalam masa terdekat ini....

Aktiviti membasuh dimulakan, membeli apa yang belum dibeli dan mengemas apa yang patut agar bila waktunya datang, tidaklah saya terfikir-fikir lagi.......

***sesungguhnya tak dapat saya bayangkan keperitannya jika saya melahirkan bayi pra-matang pada hari kejadian. Dari segi penjagaannya, dari segi kesihatan bayi itu sendiri... Malah sewaktu saya menangis-nangis minta pulang Tuan Doktor kata; 'sayanglah puan, U baru 32 minggu, jika kita tak monitor u betul2, kemungkinan u  lahirkan bayi lebih awal. Sabar sikitlah puan.....'. Hmmm...masalahnya saya menangis tu sebab nak minta ditukarkan wad, bukannya nak balik sangat.... Hahahahahaha

Saturday, July 7, 2012

Jom tengok wayang: ICE AGE 4

Salam Ahad ya semua....

Minggu ni tiada aktiviti yang best...Biasa-biasa sahaja. Tetapi rasanya minggu depan macam nak bawa Tuan Puteri Bertuah menonton wayang. Cerita apa erk??? Cerita; ICE AGE 4:CONTINENTAL DRIFT...



Rasa macam best tak cerita tu? Tapi jika tak silap, Movie ni akan mula bersiaran di pawagam pada 12 Julai nanti.... Kemudian ada sesetengah panggung akan ada dalam bentuk 3D pulak tu. Tak pe, minggu depan, kita pergi tengok, JOM!

Saturday, June 30, 2012

Petua: Mengelakkan anak terkena 'demam kuning'...

Assalam ya semua....

Memandangkan usia kandungan kini sudah mencecah 7 bulan, makanya bonda pun mula mengeluarkan petua-petua....:)

Salah satunya ingin saya kongsikan disini, sebaik sahaja kandungan memasuki usia 7 bulan, kita ibu-ibu mengandung ni bolehlah mula mengamalkan minum air rendaman bunga saffron. Petua ni diamalkan untuk mengelakkan anak terkena demam kuning. Masa mula-mula tengok bungkusan yang bonda hulurkan, saya tergelak sebentar. Saiznya hanya sebesar tak sampai dua jari, di dalamnya mengandungi cebisan-cebisan halus bewarna kemerah-merahan. Nak tahu harganya berapa? 10 hinggit!!! . Yang perlu dilakukan hanya mengambil beberapa cebisan bunga saffron tersebut dan masukkan di dalam air, rendam seketika. Air akan bertukar kekuningan, dan kita hanya perlu minum. 




Rupanya bunga saffron begini sahaja... Cantikkan??? Yang menjadikannya tinggi nilai perubatan adalah terletak pada stigma bunga yang bewarna kemerah-merahan tu... Yang itu rupanya yang saya amalkan selama dua hari ini. Patutlah mahal sahaja harganya, jika sehari saya gunakan 12 stigma untuk minuman, saya memerlukan lebih kurang 4 kuntum bunga, sebab jika tak salah, sekuntum hanya ada 3 stigma sahaja...:)

Dipercayai khasiatnya sangat tinggi, antaranya melancarkan peredaran darah, menguatkan ingatan dan pelbagai lagi khasiat. Maka, ibu-ibu mengandung dijemputlah untuk turut mengamalkan ya... Jika dalam masyarakat india, saffron akan dicampur di dalam susu lembu (yang segar tu....), kemudian perlu diminum oleh ibu mengandung. Dipercayai dapat menjadikan anak dalam kandungan  cantik.....:)

Tuesday, June 26, 2012

Cerita hari ini: 'Pengaruh Back Yard Science (BYS) dalam hidup anak anda'


Assalam.....

Hmm....sekadar sebuah entry pendek di hari kalut saya! Tajuk hari ini;'pengaruh Back Yard Science (BYS) dalam hidup anak anda'. Adakalanya tidak dapat dinafikan, BYS ni banyak memberi kesan positif terhadap hidup anak-anak kita. Antaranya:

i) mereka akan jadi lebih kreatif;
ii)mereka akan mempunyai minat meneroka dan mencuba benda baru;
iii) mereka akan menghabiskan masa lebih banyak di depan TV daripada mengganggu kita di dapur;
iv) dan macam-macam lagi yang baik-baik yang tak sempat saya senaraikan di sini.....

Akan tetapi, pengaruh negatif pun ada juga. Antaranya:

i) mereka akan jadi terlalu bijak sehingga melebihi kebijaksanaan ibu bapa mereka;
ii) mereka akan mula menakluki siaran di televisyen sehingga kita sendiri gagal menonton siaran masakan kegemaran;
iii) mereka akan mula menyeludup minyak masak di dapur, pinggan, periuk atau pun tisu sekotak untuk dijadikan bahan eksperimen;
iv) dan...pelbagai lagi keburukan yang sungguh membuat kita terkedu lidah atau mencapai tahap kesabaran yang maksima......

Sebagai salah satu contohnya, lihatlah ini:


Bonda: Hang tengok anak bijak hang punya kerja.....
Saya: La...bila masa jam dia rosak, kan baru beli....
Bonda: Aku tak tau... tengok-tengok dah jadi macam ni.... tanya kat dia, dia kata adik nak buat jadi kanta pembesaq... Hang tengok sat, betui ka boleh jadi kanta pembesaq!

Saya pun membelek-belek.....

Saya: Hmmm...besaq la juga..... (terus tergelak.....)
Bonda: Tu nanti pi mana-mana, jumpa orang juai jam, nak pulak beli jam baru.... 

Betul tak kata saya? Anak-anak kita memang semakin bijak dan mereka bertambah bijak dengan pengaruh rancangan di televisyen...... (apa lagi yang nak dikatakan bila anak terlampau bijak kan...????!)

Sunday, June 24, 2012

Jom ke Pulau Aman....:)

Sedap tak bila pandang Mee Udang tuuu.... Hmmm...nyum, nyum.... Memang nyum, nyum la.... 

Sebenarnya hujung minggu baru-baru ni saya dengan En. Awak telah menjengah ke Pulau Aman yang terletaknya di Pulau Pinang. Ni memang betul-betul pulau...buka macam Pulau Tikus atau Pulau Betong yang tak perlu naik bot. Bukan apa, sekadar menenggek 'group' tempat kerjanya membuat sesi 'jungle tracking'. Seumur hidup saya yang membesar di Pulau Pinang, belum sekali pun saya menjengah ke Pulau Aman ni, maka kesempatan ni saya gunakanlah untuk menjengah sebentar. Selepas sesi 'jungle tracking', ada pula sesi makan-makan di restoran di sini. Acara makan Mee Udang dan juga ketam. Ketam tu rebus saja...tak de apa-apa perencah pun. Tapi rasanya sedap....mungkin sebab masih segar. 

Selain daripada ketam, kita juga boleh mendapatkan udang lipan dan juga belangkas untuk dimasak di restoran terapung ini. Apa yang membuatkan saya sedikit kagum, restoran ini merupakan restoran melayu, jadi....sila makan tanpa rasa was-was....:). Minuman keras tidak ada dijual disini dan minuman yang istemewa dan sesuai adalah... 'calamansi& asam boi juice'@air limau dengan asam boi....nyum, nyum...sesuai la bila makan udang-udang ni kan....:)

 'Nanti kita makan kat situlah'....kata En Awak sambil menunjukkan Restoran Terapung di Pulau Aman.....

Kali ini memang betul-betul sebagai sesi menjengah ke Pulau Aman sahaja. Ye lah.... saya dan En. Awak tak sempat pun nak berjalan-jalan ke sana sini. Maklumlah, dengan perut besar ni tak dapat rasanya saya nak menjelajah ke seluruh pulau. Jika kesihatan mengizinkan, dipanjangkan usia...insyaallah sampai lagilah kami ke sini.... 

**Pulau ini tidaklah seindah mana pun, lebih terkenal dengan hasil lautnya. Kebanyakan orang yang datang membayar tambang RM6.00 bagi orang dewasa semata-mata untuk makan Mee Udang sahaja. Selain itu, kerepek sukun juga ada dijual disini. Walaubagaimana pun, saya mendapati baik pekerja-pekerja di restoran atau penjual di jeti menaikkan ikan, senyuman memanglah tiada....  Seolah-olah, 'jika tak senyum pun, orang datang juga'... atau mungkin juga 'haishhh...penatlah melayan kerenah orang ni...bila la gamaknya nak berambus ni!!!'. Terasa sangat macam tu..... Tak boleh la, sepatutnya, pelanggan tu diutamakan, tak kiralah seramai mana pun. Bukankah bila semakin rama makanya semakin murah rezeki anda-anda semua???




Monday, June 18, 2012

Terapi minda:Menjahit si bintang kejora!

Assalam.....

Tenggelam timbul, timbul tenggelam.... Begitulah rupanya akhir-akhir ini...:)

Bukan niat hati tetapi memang keadaan kesihatan tidak mengizinkan, tanggungjawab yang jenuh menjawab, kerja yang tak terkerja dan sebagai kesimpulannya, ada sahaja yang tak kena atau tak berapa kena. Pada detik ini, niat di dalam hati, cuba menyelesaikan seberapa banyak yang mampu dan sewaktu bermulanya cuti, tiada lagi yang akan difikirkan.... tetapi kerja itu takkan pernah habis bukan....:(

Dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, kerja yang tak terkerja, adakalanya menyebabkan keletihan melampau. Atau kadangkala sakit kepala serta pening lalat yang melanda. Kesian dekat baby kat dalam, kena sama-sama rasa pening ibunya...:)

 Maka dari itu, salah satu cara untuk meredakan tekanan, adalah dengan menghadap FABRIK! Betul tak??? Asyik memandang PC, memikirkan 'paperwork', memikirkan 'strategy' yang tak menjadi strategik, atau menyusun jadual kerja sampai termimpi-mimpi (aduhh...begitu fanatik dengan kerja akhir-akhir ini kerana cuba menyelesaikan segala sebelum bercuti panjang..), tetapi akhirnya hampa kerana yang bernama kerja itu tidak pernah kunjung akhirnya. Bila sahaja keadaan kesihatan semakin tidak mengizinkan, langkah tidak mampu panjang lagi sebaliknya lebih kepada terkedek-kedek ala 'peguin', maka saya perlu menyerongkan sedikit perhatian kepada benda yang lebih diperlukan dimasa hadapan. Apa bendalah sebenarnya yang saya cuba kerjakan ketika ini??


Hmm.... inilah bendanya, terkebil-kebil biji mata cuba menyelesaikan quilt pada baby bed sheet ini.....:)


Macam-macam corak ada, pasu bunga ada, bintang kejora pun ada, buat perlahan-lahan, terasa sakit pinggang berhenti berehat. Harap-harap nanti dapat disiapkan segera, jika ada masa mungkin boleh buat set sekali dengan bantal atau beg.....hhmmm...hajat tinggi, entah mampu, entahkan tidak...:)

Sesekali beriadah bersama-sama si Tuan Puteri Bertuah di tepian pantai yang indah.... Bukan apa, terasa berat sudah kepala ini, seberat berat badan yang kian bertambah. Sesekali menjengah pantai, menikmati angin sepoi-sepoi, sambil makan aiskrim (oppss...terlanggar diet..), memanglah terasa kenikmatannya....:). Sesekali...apa salahnya kan.....(^_^)'



*kadangkala kita berfikir hingga kita merasakan tidak terfikir. adakalanya kita merasakan telah berusaha sehingga tidak terusaha lagi. jika diri kita sudah mencapai tahap, entah! maka apa yang kita perlukan hanya diam dan pandang sahaja...biarlah luncai terjun bersama labunya. untung sabut, timbullah dia, untung batu, tenggelam jadinya...:)


**memang hati akan merasa sebal bila berulangkali menghadap kesilapan serupa dari manusia yang merasakan dirinya paling sempurna. terlalu biasa untuk membabi-buta sedangkan mata luas terbuka, mungkin tak perasan, mungkin tak nampak. tapi bila kelancaran kata melampaui bahasa, hati yang merasa akan terus terasa. kata hati..... 'tak apa, tuhan itu ada....satu hari nanti kau akan rasa juga apa yang aku rasa....'. manusia adakalanya tidak pernah sedar, untuk berada di atas, dan terus di atas, dasar yang dipijak haruslah kukuh, ampuh. jika dasarnya sudah mula rebak, tunggu saja masa jatuhnya...:(

***mengambilmasa perlahan-lahan menyiapkan bintang kejora, harap parah dalam hati perlahan terubat...:(

Thursday, May 31, 2012

Jom tengok wayang;Piranha 3DD la konon....

Assalam... 
Hari ini hari Jumaat. Semalam saya dan En. Suami sengaja bersantai minda di panggung wayang. Hajat hati nak menonton cerita 'Snow white & Huntsman'. Tetapi apakan daya, hajat tak sampai.... panggung penuh, tinggal seat yang hadapan dan tepi. Maka saya merelakanlah diri menonton movie yang lain.

 Macam best je kan movie Snow white ni...:)

Cerita selanjutnya yang menjadi pilihan En. Suami, 'Piranha 3DD'. Memang dari rumah lagi asyik di sebut-sebut movie ini. Maka dengan rela hatinya saya mengikut sahaja.....
Macam best je la ceritanya mula-mula. Tambah pula dengan 3D kononnya.... Nampaklah air dan buih-buih bagaikan di depan mata. Sampai di pertengahan cerita, mulalah dalam kepala; 'mengarut dah cerita ni...'. Sampai di penghujungnya, sah-sah mengarut punya cerita!!!

Secara kesimpulannya, ceritanya tak berbaloi dengan harga tiket yang perlu dibayar. Agak sayang bagi saya kita membayar satu harga yang tinggi hanya untuk melihat cerita yang agak santai dan merapu. Apa yang dipersembahkan kepada kita adalah tentang kebebasan anak muda, gurauan berbentuk 'sex' dan malah ketika puncak cerita iaitu di mana saat ikan piranha menyerang pun, aksi yang diberi penekanan adalah aksi wanita dengan 'buah dada' yang besar sedang berlari menyelamatkan diri. Hmm...kan 3D, amboiii....bukan main jelas lagilah....:(

Ceritanya ada moral yang tersendiri, iaitu jangan cari jalan mudah untuk kaya dan orang yang suka menipu akan mendapat balasan. Akan tetapi penggarapan jalan ceritanya haruslah lebih realistik, lancar dan lebih menekankan moral yang sepatutnya. 

**hmm...keterbatasan dalam menulis kerana melayan tangan yang bengkak akibat di'ketik' lebah... Seumur usia, inilah pertama kali merasa. Sakit sungguh ya rupanya....T_T

Monday, May 21, 2012

TQ Cikgu

Salam semua....

Tadinya baru berpeluang ber-FB, baru berpeluang nak update blog, sekali buka je blog, sesungguh saya kepeningan. Mak aihhhh.... Dah tukar ka... Jenuhla nak study balik ni....Formatnya sudah bertukar, lebih canggih barangkali. Tak apa, nanti hujung minggu ni saya studylah...:)


Kebetulan hari Isnin ada sambutan Hari Guru di sekolah anakanda. Dalam kekalutan masa, sempat jualah saya mengerjakan sedikit cenderahati buat guru-guru anakanda semua.

Bila dah lama tidak berkraftangan, memang macam-macam bentuk jadi akhirnya. Harap-harap guru-guru anakanda sukalah dengan pemberian ini....:)

Setiap guru akan dapat rekabentuk yang berbeza bersama sekeping coklat lazat......'TQ Cikgu...'. 

Selamat Hari Guru untuk guru-guru semua..... terima kasih kerana sudi menjadi pendidik anak bangsa...:)

Wednesday, April 11, 2012

Towel-Ariff go to school....

Salam sejahtera....

Hmm...macam pembaca berita pula rasanya....:)

Okay, untuk sekian kalinya saya tenggelam dan timbul semula... Bukan apa, kesihatan masih jua tidak mengizinkan. Harap sangatlah nanti saya bertambah sihat untuk meneruskan semua cita-cita yang menggunung di hati ni.

Hari ini dalam entry yang ringkas ini saya sekadar nak berkongsi idea tentang cenderahati yang kita hendak beri kepada orang. Bukan apa pun, sekadar suka-suka. Baru-baru ini sahabat saya telah melahirkan anak sulung (bukan baru lagi sebenarnya, dah lebih dua bulan pun....hahahaha). Walaubagaimana pun, saya yang baru kebah dari pening-pening ini baru berpeluang hendak melawat si comel tu.... Nama baby mereka adalah Wan Muhammad Ariff.

Seminggu sebelum melawat tu, saya sempat jugalah pusing-pusing di JUSCO untuk mencari cenderahati untuk diberikan kepada baby Ariff ni. Jadi saya pun terfikir untuk berikan tuala.

Okay, simple sangat tuala ni. Warna biru dan ada gambar bas seketul yang disulam. Comel juga la..... Besar pula tu, harganya cuma RM15.90

Tapi dalam hati saya kata, hmmm....nak tambah-tambah sikit la bagi lagi comel. Saya pun balik ke rumah bonda dan bekerjasama dengan Cik Nina dan hasilnya.......

Taraaaa.... saya tambahkan dengan hiasan fabrik cotton bercorak pelbagai jenis kenderaan ni dan saya copkan nama kat situ 'ARIFF'. Lepas ni, susah la orang nak pinjam tanpa izin sebab dah cop nama tuan yang empunya...:)

Hmm...tuala cukup besar, harap-harap nanti ariff boleh gunakan lama....ye tak? Sampai pegi sekolah gitu.... Tapi budak-budak sekarang, umur 4 tahun lagi pun dah pergi sekolah kan....:). Jadi sekarang tuala tu dah tidak lagi bernilai RM15.90, mungkin dah bernilai lebih lagi.... Harap-harap Mama Ariff suka lah....:)

Itu saja... sekian, terima kasih... Nanti anda pun boleh juga, beli tuala, hiaskan sendiri dan cop nama anak-anak, barulah tak bertukar...:)

* Dua hari sudah dapat berita anak seorang sahabat sewaktu di Universiti terjatuh dari balkoni kediamannya. Baru berusia 3 tahun. Semoga Syima sekeluarga tabah dengan ujian ini ya....:(

Saturday, March 3, 2012

Salam Ahad ya semua.....:)

Lama benar saya dah menghilang rasanya. Hmmm...semenjak Januari rasanya..... Ada juga yang bertanya, apakah saya telah meninggalkan terus dunia blog ni selepas melalui hidup bertiga. Atau mungkin melupakan sementara kerana kesibukan nak membina serta menjaga alam rumahtangga. Ataupun En. Awak tu langsung tak membenarkan saya menyentuh keyboard atau Cik Nina????

Bukan, semuanya bukan.... Sebenarnya kehilangan sementara ini adalah disebabkan kesihatan diri yang tidak mengizinkan. Maklum sahajalah, sekarang ini dalam proses hendak berempat pula. Doakanlah kesihatan saya beransur pulih...

Pagi tadi hujan turun dengan lebatnya setelah sekian lama musim kemarau dan panas (agaknya cuaca panas lebih memberi kesan terhadap kesihatan...). Bila kepala tidak dilanda pening lalat, maka sempatlah juga saya menggodek Cik Nina yang telah saya tinggalkan keseorangan hampir 3 bulan lamanya (silap-silap lebih lagi....).


Sebelum digunakan, haruslah di'servis' terlebih dahulu. Seperti yang semua sediamaklumlah.... bila selalu menggunakan fabrik kapas sewaktu menjahit, sisa-sisa seperti ini tidak dapat dielakkan dan harus dibersihkan dengan lebih kerap supaya mutu jahitan terpelihara...:)

Ini pula bukan sisa-sisa akibat penggunaan fabrik kapas, tetapi lebih kepada kesan dan akibat lama tidak digunakan....gheghegheghe


Antara hasil ringkas. Proses menandakan harta-harta Si Tuan Puteri Bertuah dengan nama. Sekarang, Tuan Puteri ni telah memulakan sesi persekolahan. Hari pertama sekolah lagi stokin hilang, hari kedua ntah apa lagi yang hilang. Mulanya, bonda hanya tandakan dengan benang merah, itu pun masih hilang. Jadinya saya ambil pendekatan, jahit nama. Sekiranya, anak-anak membawa pulang stokin milik orang ke rumah, harapan saya, ibu bapa mereka akan cepat menyedari dan memulangkan semula. Insyaallah....:)