Followers

Friday, November 12, 2010

'Hey Ladies!!!'

Siapa sebenarnya suami anda? Musang berjanggut? Di depan lain, belakangnya pula lain? Sebenarnya sudah lama sangat saya memandang dari jauh malah ada juga yang dekat-dekat sangat dengan hidup ini. Selain daripada itu, topik ini juga seringkali di jadikan artikel di majalah, atau mungkin kisah luahan hati di ruangan Asam Garam Rumah Tangga. Ada juga terbaca satu entry daripada seorang blogger mengenai:

Tips Untuk Mengenali Suami Curang

Isteri sebenarnya sahabat yang paling akrab si Lelaki samada sedar atau tidak. Sebagai seorang isteri selalu nalurinya akan terdetik bila sahaja ada perubahan pada suami. Betul atau tidak? Malahan, sekiranya suami cuba untuk menyembunyikan masalah, seorang isteri dapat merasakan. Apatah lagi jika perubahan itu melibatkan soalnya hati. Okay, saya tidak menafikan, di dalam hati lelaki terdapatnya kotak-kotak yang masih perlu diisi oleh sesuatu yang lain selain dari isteri, anak-anak dan kerjaya (bukan seorang lelaki yang menyatakan tentang perkara ini). Kerana itu, adakalanya lelaki ini memerlukan kawan-kawan, malah juga teman wanita untuk mengisi kotak hati lelakinya. Terpulanglah juga pengisian si Lelaki tentang kotak-kotak di dalam hatinya. Jika ke arah yang baik, maka baiklah jadinya. Jika buruk maka buruklah jadinya.

Apa kisah sangatlah pengisian lelaki lelaki dengan kotak-kotak di dalam hati mereka itu. Yang saya kisahkan kini, kita sebagai perempuan, kenapalah mudah sangat tertipu. Ayat, 'Tipah tertipu bang'....macam dah biasa sangat hari ini saya lihat. Si Lelaki ini sudah berumahtangga, masih lagi bermain cinta di luar rumah. Jika si Lelaki berhajat nak melengkapkan kuota yang ada, tak mengapa. Sekiranya sekadar meluangkan masa yang tersisa? Malang juga. Lebih malang lagi jika si Wanita ini bermati-matian percaya yang si Lelaki benar-benar menyayangi dan serius dalam hubungan mereka malahan sanggup berkorban apa sahaja, kesian bukan? Wang ringgit ini usah di bilang, jika dah sayang lain pun mungkin sanggup juga. Itu saya tak mahu sentuh dengan lebih lanjut. Tetapi saya memang berasa kasihan sangatlah dengan nasib wanita yang sebegini.

Itu bila si Wanita yang menjadi kekasih gelap, bagaimana pula dengan si Isteri di rumah samada yang menjadi surirumah sepenuh masa atau pun bekerjaya. Bila sahaja menghidu kisah suami curang ini, pelbagai reaksi timbul. Ada yang lebih suka menjeruk rasa, ada juga yang melenting tak tentu punca, ada yang sanggup masuk penjara ada pula yang bijak laksana. Macam-macam jadinya. Tetapi, bila sahaja jadi begini, si Lelaki yang sayangkan rumahtangganya akan cuba memujuk si Isteri untuk percaya samaada mereka insaf dan tak akan buat lagi, atau pun mereka memang sayangkan si Wanita dan berhajat nak jadikan isteri atau pun dengan nada tidak berdosa, salah itu diletakkan di bahu si Wanita yang menjadi mangsa dalam soal ini. Untuk menutupi kesalahan sendiri, si Wanita akan menjadi mangsa dibenci oleh kaum sendiri. Si Lelaki selamatkan diri. Kesian lagi saya dengan kaum wanita hari ini. Baik si Wanita, baik si Isteri. Pernah saya mendengar satu ayat ini, lahir dari mulut seorang isteri yang percaya suaminya memang suci murni sifatnya: "Kak Shidah (nama telah ditukar) tahu, En. Rahim (nama ini pun ditukar) takkan buat perangai macam tu. Perempuan tu yang tergila-gilakan dia, dia sampai serba-salah kalau tak layan. Benda takkan jadi macam ni jika perempuan s*** tu tak gatal-gatal!!!!". Wah....terkesima saya sebentar sewaktu mendengar kenyataan si Isteri ini. Sebabnya, saya memang mengenali sangat sikap si Suami di luar kawasan liputan rumahtangganya, dan ayat yang dinyatakan kepada isteri pun saya sudah boleh mengagak: " Bukan I yang tergila-gilakan dia, tapi dia yang selalu kacau I.....". Kesian saya dengan isterinya, ingatkan suaminya itu memang baiklah sangat, rupanya, bukan kayu tiga, saya rasa kayu sepuluh pun adanya.

Motif sebenarnya yang cuba saya perkatakan disini, sebagai wanita, cubalah untuk menjadi bijak. Memang sayang selalunya akan menjadikan kita tak nampak, sekali terkena, maka seharusnya dijadikan pelajaran yang cukup baik untuk hidup kita. Kenapa masih mengizinkan diri untuk terkena bagi sekian kalinya. Si Wanita, sekiranya si Lelaki ini benar-benar menyayangi, benar-benar serius dalam perhubungan, sudah pastinya sesuatu hubungan itu dibina dengan asas yang kukuh, niat yang murni dan pendekatan yang terbaik. Tetapi jika sekejap baik sekejap tidak, sekejap ada sekejap tiada, malah kekadang memuji kekadang menghina, ada baiknya dilupakan saja. Saya masih tidak faham, kenapalah masih ada juga si Wanita yang sanggup menelan bulat-bulat kenyataan si Lelaki walau telah berkali-kali si Lelaki dengan sepenuh jiwa menghina. Apa yang saya nampak, si Lelaki, hanya akan datang bila mana jiwanya terasa memerlukan teman berbicara selain dari si Isteri yang jauh dimata. Bila tidak lagi memerlukan atau suasana tidak mengizinkan, maka sumpah seranah pula yang menyinggah.

Sebagai si Isteri pula, bilamana menghidu kecurangan si Lelaki, janganlah meletakkan kesalahan secara 'total' kepada si Wanita, kenalilah suami anda-anda sekelian dengan sebaik-baiknya terlebih dahulu ya....... Tidak mustahil, di depan anda, pijak semut pun tak mati, sekali di belakang, baru lalu gajah dah penyet. Layan je la lagu ini, sesuai sangatlah untuk topik ini. Cerdik-cerdikkan lah diri anda. Jika dah cerdik tetapi tertipu jua, tak mengapalah kerana kita telah berusaha sedaya-upaya. Itu namanya takdir yang tertulis, ujian pun ia juga...:)




No comments:

Post a Comment